Ini 8 Lokasi Yang Boleh Buat Jiwa ‘Anak Merdeka’ Anda Makin Membara!

TRAVEL
August 24, 2020 - 05:10 PM


Tanggal 31 Ogos, laungan perkataan keramat ‘Merdeka’ saban tahun pasti menggegarkan seluruh pelosok negara!

Meskipun tahun ini tiada sambutan rasmi secara besar-besaran bagi meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-63 tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19, namun masih ada cara untuk menyambutnya dengan norma baharu dan dalam cara yang tertentu.

Bagi membuktikan jiwa patriotik ‘Anak Merdeka’ yang sentiasa membara dalam diri korang, apa kata gunakan kesempatan cuti umum yang panjang ini untuk melawat 10 tempat ikonik yang begitu sinonim dengan erti kemerdekaan Malaysia.

Tempat-tempat ni tak jauh pun, semua ada di sekitar Kuala Lumpur je! Kalau tak sempat nak berjalan-jalan masa cuti Hari Merdeka, jangan risau cuti panjang sempena Hari Malaysia bulan September ni pun korang boleh sambung jalan-jalan ke sana!

1. DATARAN MERDEKA

Boleh dikatakan lokasi ini sememangnya popular sebagai tempat perarakan rasmi sambutan Hari Merdeka dan di dataran ini jugalah yang menjadi saksi pada 31 Ogos 1957 di mana bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Korang jangan tak tau, tiang bendera yang ada di Dataran Merdeka ini merupakan tiang bendera yang tertinggi di Malaysia tau!

Destinasi ini cukup sesuai untuk korang bersantai bersama keluarga melihat panorama sekeliling sambil menghayati bagaimana pengorbanan datuk nenek kita dan wira-wira negara dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

 

2. BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Di depan Dataran Merdeka, terdapat sebuah struktur ikonik yang dibina pada tahun 1897 sebagai bangunan pentadbiran ketika era penjajahan British.

Bangunan Sultan Abdul Samad yang menerapkan konsep seni bina Moghul dan Moor ini mempunyai nilai sejarah yang sangat bernilai untuk dihayati oleh rakyat Malaysia terutama golongan muda.

Pada waktu malam, suasana di sekeliling bangunan ini juga sangat cantik dengan limpahan lampu neon berwarna-warni.

Malah jika malam merdeka di sini juga pernah menjadi lokasi masyarakat pelbagai kaum termasuk pelancong asing untuk melihat pertunjukan bunga api sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan.

 

3. TUGU NEGARA

Masa kecil-kecil dulu, kita mesti selalu lihat di kaca TV dendangan lagu Negaraku berlatarbelakangkan Tugu Negara, kan?

Asyik tengok dalam TV saja, apa kata kali ini korang berkunjung ke monumen bersejarah ini bersama keluarga atau anak-anak, lokasinya pun bukan jauh sangat, dekat je dengan bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Tugu Negara ini merupakan monumen ikonik negara kita yang dibina sebagai simbol penghargaan dan memorial khas untuk para pahlawan yang bertarung nyawa suatu ketika dahulu demi menggenggam sebuah kemerdekaan.

Jika ke sini mungkin korang akan lebih menghargai betapa berharganya erti sebuah kemerdekaan dan keamanan, selepas melihat betapa besar pengorbanan wira-wira negara yang sanggup gugur demi memastikan kita menikmati kebebasan seperti zaman sekarang.

 

4. MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN

Tak berjiwa merdeka kita sekiranya tidak kenal siapa 'Bapa Kemerdekaan' negara! Dan bagi mengenali personaliti beliau dan jasa-jasa yang disumbangkan, korang wajib melawat ke Memorial Tunku Abdul Rahman ini.

Memorial yang dibuka sejak tahun 1994 ini bertempat di sebuah kawasan yang merangkumi 3 bangunan yang tidaklah terlalu besar, namun padat dengan informasi berbentuk interaktif mengenai Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Di sini terdapat juga pameran gambar-gambar lama, kenderaan beliau dari model Cadillac Fleetwood 1959 dan 'Kereta Merdeka' yang digunakan Almarhum Tunku Abdul Rahman ketika sambutan Hari Kemerdekaan pada 1957!

Jika berkunjung ke sini, korang jangan lepaskan peluang untuk melawat sekali Memorial Tun Hussien Onn iaitu Perdana Menteri Malaysia yang ketiga kerana ia terletak bersebelahan sahaja.

 

5. MAKAM PAHLAWAN

Makam Pahlawan adalah sebuah tempat perkuburan khas yang terletak di pekarangan Masjid Negara.

Makam ini dibina bersama-sama dengan Masjid Negara sebagai tempat khas persemadian pemimpin dan wira yang banyak berjasa semasa hidup mereka.

Kawasan makam yang unik ini dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu dalam dan luar. Bahagian dalam dilitupi dengan kubah konkrit yang berbentuk bintang pecah tujuh yang menempatkan beberapa makam. Kubah berbintang ini mempunyai penjuru yang setiap satunya hampir mencecah tanah serta dikelilingi kolam yang memisahkan kawasan luar.

Di bahagian luar pula direka dengan hiasan lambang negara dan ukiran bunga-bunga daripada batu marmar dari Pulau Langkawi. Bahagian tengah bumbung kubah dihiasi dengan hiasan bunga mawar berwarna emas.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail yang meninggal dunia pada tahun 1973 menjadi individu pertama yang dikebumikan di sini, disusuli Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Ghafar Baba dan 12 lagi pemimpin negara yang banyak berjasa.

 

6. MUZIUM POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)

Muzium PDRM ini hanya terletak di antara Taman Tasik Perdana dan Masjid Negara serta bersebelahan dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Muzium ini menempatkan hampir 2000 jenis artifak dan bahan bersejarah yang umumnya menceritakan zaman perkembangan dan kegemilangan pasukan 'Sang Saka Biru' dalam menumpaskan penjenayah serta pencerobohan komunis suatu ketika dahulu.

Terdapat juga koleksi senjata-senjata yang pernah digunapakai oleh penjenayah sebelum mereka ditewaskan oleh PDRM. Di bahagian luar pula dipamerkan kenderaan dan jentera lama yang pernah digunakan oleh anggota polis untuk menjalankan tugas seperti Kereta Perisai (GMC), Sankey, Ferret Scout Car, Kapal Terbang CESSNA dan juga bot marin PA4.

Pelbagai koleksi pingat keberanian pegawai polis juga boleh korang lihat di sini, yang sedikit sebanyak dapat melahirkan rasa bangga dan lebih menghargai sumbangan pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan negara kita selama berdekad lamanya!

 

7. SKY BRIDGE KLCC

Sebagai anak Malaysia siapa yang tak bangga dengan Menara Berkembar KLCC yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sebelum ini?

Masih kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia sehingga ke hari ini, boleh menjadi alasan terbesar untuk korang melihat sendiri betapa indah dan membangunnya ibu negara Malaysia dari ketinggian aras 86 menara ini.

Kalau ke sini korang berpeluang untuk melawat jambatan atau SkyBridge yang menghubungkan kedua-dua menara berkembar ini yang terletak di tingkat 41 & 42, sebelum korang teruskan pengembaraan ke dek pemerhatian atau Observation Deck yang terletak di aras 86.

Tetapi harus diingatkan ya, lawatan ke SkyBridge KLCC ini adalah terhad dan mempunyai kuota harian untuk pengunjung. Jadi pastikan korang beli tiket online siap-siap atau walk-in di kaunter namun bergantung kepada slot harian yang ditetapkan.

 

8. MRT STESEN MERDEKA

Kalau korang berjalan-jalan di Kuala Lumpur dengan menaiki pengangkutan awam seperti MRT, jangan lupa untuk singgah ke Stesen Merdeka kerana stesen bawah tanah ini memiliki keistimewaan yang dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan korang!

Stesen bawah tanah ini yang siap pada tahun 2017 telah diberi tema "Kemerdekaan" kerana lokasinya berhampiran lokasi bersejarah Stadium Merdeka di mana Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu daripada British pada 31 Ogos 1957.

Tema ini dapat dilihat melalui beberapa ciri seperti sebuah dinding di aras atas yang mengandungi prinsip-prinsip Rukun Negara dan sebuah lagi dinding di aras sama yang mengandungi gambaran pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman.

Di aras bawah, setiap tiang sebenarnya dihiasi dengan bendera dan jata setiap negeri di Malaysia.

Jadi kalau ke sini korang jangan lepaskan peluang untuk bergambar Instagram bagi memberi simbolik tanda kecintaan korang kepada Malaysia! SELAMAT HARI MERDEKA KE-63 MALAYSIA!