Jangan Lepaskan Peluang 'Jalan-Jalan Online' Ke Zoo Taiping Setiap Pagi Ahad. Free Je!

TRAVEL
July 09, 2021 - 09:47 PM


Bila dah lama terkurung hingga ibu bapa dan anak-anak pun semakin stress dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR -- mungkin anda boleh berehat sebentar sambil 'beriadah secara maya' melawat Zoo Taiping pada setiap pagi Ahad.

Ini kerana pihak Zoo Taiping dan Night Safari menawarkan sesi Facebook & Instagram Live bagi memberi peluang kepada orang ramai mengubati kerinduan terhadap telatah haiwan-haiwan di zoo yang biasanya menjadi kegemaran kanak-kanak.

Zoo Taiping yang menggunakan tagline "Online Now, Onsite Later" memulakan kunjungan secara maya itu pada 4 Julai lepas dengan membuat liputan secara lintas langsung bagi menyaksikan buaya tembaga oleh Pegawai Penerangan Veterinarnya.

Tanpa mengenakan sebarang caj untuk 'jalan-jalan zoo online' -- sesi tersebut bakal diteruskan pada 11 Julai ini pukul 10 pagi dengan perkongsian video secara langsung mengenai Harimau Malaya pula termasuk demonstrasi memberi makanan kepada spesies yang semakin terancam itu.

Istimewanya sesi tersebut akan dibawakan live oleh Pengarah Zoo Taiping sendiri iaitu Dr Kevin Lazarus.

Ayuh beramai-ramai, jangan lepaskan peluang ini! Klik link dibawah untuk menonton sesi LIVE:

FB: https://www.facebook.com/zootaipingnightsafari/

IG: https://instagram.com/zootaiping?utm_medium=copy_link

Untuk rekod -- sebelum ini, Taman Buaya dan Rekreasi Melaka turut menganjurkan lawatan secara maya menggunakan medium Google Meet, namun dengan bayaran RM7 dengan pilihan 2 sesi iaitu pada pukul 11 pagi dan 2.30 petang.

Selain kedua-dua zoo berkenaan, antara lokasi menarik lain yang melakukan inisiatif sama adalah Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.

Sumber: FB Zoo Taiping & Night Safari

Baca Juga: Jom Bawa Anak-Anak 'Virtual Tour' Ke Taman Buaya & Rekreasi Melaka, Hanya Dengan RM7!

Destination: