Jom Bawa Anak-Anak 'Virtual Tour' Ke Taman Buaya & Rekreasi Melaka, Hanya Dengan RM7!
TRAVELSemalam kerajaan memutuskan untuk menyambung lagi tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 sehingga kes baharu berada di bawah 4,000 kes selama 7 hari berturut-turut.
Pasti ramai yang semakin tertekan kerana telah kebosanan berkurung di rumah untuk tempoh yang lebih lama.
Bagi mengurangkan tekanan, apa kata jom kita isi masa terluang bersama keluarga serta anak-anak jalan-jalan ke Taman Buaya & Rekreasi Melaka secara maya atau 'virtual tour'!
Konsep lawatan secara langsung menerusi Facebook Live itu adalah pertama kali dilakukan oleh pihak Taman Buaya & Rekreasi Melaka, memandangkan tempoh Lockdown masih diteruskan akibat peningkatan kes baharu Covid-19.
Idea baharu itu dilakukan bagi memberi peluang kepada orang ramai terutama golongan ibu bapa membawa anak-anak 'melancong' walaupun berada di rumah.
Untuk menyertai virtual tour tersebut pengunjung perlu membuat tempahan dahulu menerusi laman Facebook rasmi Taman Buaya & Rekreasi Melaka bagi memilih sesi lawatan sama ada pagi ataupun petang.
Penerangan mengenai info haiwan dan demonstrasi memberi makan buaya itu diadakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dalam 2 sesi masing-masing pukul 11 pagi dan 2.30 petang.
Kemudian mereka perlu mengisi borang tempahan dengan klik link diberikan ini: https://forms.gle/xJ6FLN5P4DnandwKA
Setelah membuat bayaran RM7 untuk setiap sesi lawatan, pengunjung boleh memulakan virtual tour tersebut yang akan berlangsung selama 1 jam 30 minit.
Menariknya selain dapat melihat secara langsung proses memberi buaya makan, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai spesies haiwan lain.
Sejak mula dilaksanakan sambutan yang diterima ternyata sangat positif dan usaha ini diharap dapat membantu menampung kos pemeliharaan hidupan liar tersebut.
Sumber: Astro Awani
Kredit Gambar: FB Taman Buaya & Rekreasi Melaka