Kota Sabang, Aceh Kembali Alukan Kedatangan Pelancong Lepas Jadi Zon Hijau

TRAVEL
June 03, 2020 - 03:39 PM


Kota Sabang, Aceh sering menjadi pilihan destinasi liburan untuk pelancong dari dalam dan luar Indonesia kerana keindahan pantainya yang biru dan mempesonakan.

Namun sejak penularan COVID-19, pulau itu ditutup kepada pelancong sebagai langkah mengekang jangkitan virus tersebut memandangkan Indonesia mencatatkan jumlah kes yang agak membimbangkan.

Bagaimanapun sejak 1 Jun ini, Aceh kembali membuka lokasi pelancongannya kepada pengunjung, selain menawarkan perkhidmatan laut seperti kapal dan feri bagi menghubungkan Bandar Aceh menuju ke Sabang.

Namun, terdapat pelbagai protokol yang perlu dipatuhi bagi mengurangkan risiko penularan pandemik COVID-19 termasuk mewajibkan pemakaian topeng mulut dan hidung, pemeriksaan suhu badan serta penyediaan cecair pembasmi kuman di lokasi-lokasi tumpuan.

Pihak hotel juga perlu memastikan bahawa tahap kebersihan penginapan juga kena sentiasa dijaga dan melakukan proses sanitasi pada setiap hari sebagai langkah pencegahan.

Sebagai permulaan, feri ke Sabang hanya beroperasi sehari sekali dengan mengehadkan jumlah penumpang sebanyak 50 peratus berbanding muatan asal.

Penumpang juga dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan menaiki feri atau kapal.

Aceh tersenarai sebagai antara 14 kawasan yang kini dalam zon hijau dan sekaligus mendapat keizinan daripada Kerajaan Indonesia untuk membuka semula perniagaan dan aktiviti lain termasuk pelancongan.

Sumber: Mstar

Destination: