Muar, Mersing & Desaru - 3 Destinasi Cadangan 'Travel Bubble' Di Johor
TRAVELSelepas Langkawi dijadikan projek perintis untuk program 'travel bubble' atau gelembung pelancongan --Johor juga meminta agar 3 kawasan pelancongannya yang telah mencapai vaksinasi lengkap melebihi 80 peratus agar turut diberikan kebenaran sama.
3 kawasan berkenaan adalah Muar, kepulauan Mersing dan Desaru Coast.
Permohonan kebenaran 'travel bubble' untuk 3 destinasi pelancongan tersebut disuarakan oleh Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi Facebook beliau pada Selasa.
"Pertamanya membabitkan Muar yang terkenal dengan panorama cantik, bangunan bersejarah dan makanan enak kerana telah mencapai imuniti kelompok pada 4 September lalu. Seramai 168,396 penduduk atau 84.24 peratus penduduk di situ sudah menerima dos vaksin lengkap.
"Kedua ialah kepulauan Mersing atau lebih dikenali sebagai 'Maldives of Malaysia' yang telah mencapai 100 peratus vaksinasi atau 594 orang bagi keseluruhan penduduk dan pekerja pusat peranginan.
"Ketiga ialah Desaru Coast yang dinobatkan sebagai antara tempat terhebat dunia pada 2021 oleh majalah Time. Tempat ini telah mencapai 91 peratus vaksinasi atau 1,210 pekerja yang sudah menerima dos kedua," katanya
Onn berkata, berdasarkan hasil perbincangan dengan Tourism Johor, pihaknya memohon agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertimbangkan tiga kawasan tumpuan di Johor bagi pelaksanaan inisiatif gelembung pelancongan di Johor.
"Saya percaya gelembung pelancongan ini akan memberikan sinar baharu kepada pemain industri pelancongan Johor yang suram sejak bermulanya pandemik Covid-19.
"Justeru, saya berharap dan memohon jasa baik kerajaan Pusat supaya dapat mempertimbangkan permohonan Johor bagi membuka kembali sektor pelancongan negeri ini yang sudah lengkap vaksinasi," katanya.
Sumber: Sinar Harian