Nak Rasa Pengalaman Kutip Siput, Melampan Bijih Timah & Menjala Ikan. Korang Kena Bercuti Ke Hulu Selangor!

TRAVEL
January 05, 2022 - 05:51 PM


Disebabkan Selangor berdekatan dan bersempadanan dengan ibu kota Kuala Lumpur, ramai yang bercuti di negeri itu lebih gemar memilih lokasi di pinggir-pinggir bandar seperti Hulu Selangor.

Ini kerana selain jauh daripada hiruk-pikuk kota, Hulu Selangor juga sebenarnya kaya dengan tarikan alam semula jadi yang dapat memberikan suasana percutian yang tenang serta mendamaikan.

Selain itu, pelbagai aktiviti masyarakat kampung yang jarang diketahui boleh dicuba ketika bercuti ke sana.

Jika ingin merasai kesemua pengalaman percutian yang menyeronokkan itu, anda boleh menyertai Program Hos Komuniti Selangor di Hulu Selangor yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik -- termasuk di Sungai Selangor yang bermula dari Empangan Pertak dan berakhir di daerah Kuala Selangor.

Apa sahaja aktiviti boleh dilakukan menerusi program ini?

1. AKTIVITI TUBING

Luangkan masa dan lakukan aktiviti yang sangat mengujakan ini. Apungkan diri anda di atas tiub di sepanjang Sungai Selangor yang tentunya menyeronokkan sambil menikmati keunikan dan keindahan pemandangan sekeliling.

2. BELAJAR CARA MELAMPAN BIJIH TIMAH 

Melampan atau mendulang biji timah merupakan kaedah tradisional yang digunakan untuk mengestrak biji timah. Aktiviti perlombongan biji timah merupakan antara aktiviti ekonomi terawal yang dijalankan di Selangor.

Jadi, ini merupakan peluang yang sangat menarik untuk anda ketahui sejarah lampau dan cara melampan biji timah!

3. KUTIP SIPUT BELITUNG & MENJALA IKAN 

Ada lagi lebih menarik menanti anda di Hulu Selangor iaitu aktiviti mengutip siput belitung di sepanjang Sungai Selangor. Selain itu, anda juga boleh menjala ikan di sini dan ia turut ditawarkan dalam Program Hos komuniti.

4. BERKELAH DI TEPIAN SUNGAI SELANGOR 

Berkelah sebentar di tepian Sungai Selangor sambil menikmati juadah ringan merupakan cara terbaik untuk mengakhiri pengembaraan separuh hari anda di daerah ini.

Setelah penat beraktiviti, ambil masa seketika untuk berehat sambil menikmati keindahan suasana alam semula jadi!

Sememangnya aktiviti yang tersenarai di atas memberikan pengalaman yang sangat luar biasa! Jangan lupa juga untuk sertai pengembaraan Program Hos Komuniti di daerah-daerah di negeri Selangor bagi mengisi masa hujung minggu anda!

Sekiranya anda berminat untuk menyertai program ini, bolehlah membuat tempahan melalui talian 019-329 9760 (Khairunnisak).

Namun, pastikan anda sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara mengikut Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, demi kesejahteraan bersama.

Sumber: Mstar

Destination: