Nak Travel Ke Utarid? Jom Baca Dulu Beberapa Fakta Tentang Planet Ini
TRAVELDah bosan travel dalam Malaysia? Jom Camping ke Planet Utarid! Barulah 'Rare'. Tetapi sebelum tu korang kena tahu dulu beberapa fakta menarik tentang planet ini.
Profil Utama:
- Diameter purata: 4879 km
- Jisim (Bumi = 1): 0.055
- Daya graviti di equator (Bumi =1): 0.38
- Purata jarak dengan matahari: 57.9 juta km
- Suhu permukaan: -180⁰C-430⁰C
- Kecondongan paksi putaran: 0.01⁰
- Tempoh masa satu hari: bersamaan 59 hari di bumi
- Tempoh masa setahun: bersamaan 88 hari di bumi
- Bilangan bulan: tiada
Fakta Orbit:
Sifat esentriknya adalah lebih berbanding orbit planet-planet yang lain. Kecondongan paksi putarannya hampir menegak, dan kesannya tiada musim yang berlaku. Sebahagian kutubnya tidak pernah menerima cahaya matahari langsung dan terlalu sejuk. Orbitnya condong sebanyak 7⁰ daripada orbit satah bumi. Oleh kerana orbit planet Utarid terletak lebih dalam daripada orbit bumi, maka wujudnya fasa-fasa Utarid (seperti bulan). Peralihan perihelion orbit Utarid akan berlaku sebanyak 1.55⁰ bagi setiap abad.
Struktur Utama:
Ketumpatannya adalah tinggi kerana Utarid dipercayai kaya dengan sumber besi. Teras Utarid adalah sangat besar iaitu sekitar 61% daripada keseluruhan isipadunya (3600 km diameter). Pepejal berbatu mantelnya setebal 550 km. Keraknya pula kaya dengan unsur-unsur seperti magnesium, basalts, dan batu-batuan silicate. Permukaannya lebih stabil dan tiada pergerakan plat.
Terdapat suatu hentaman yang besar pernah berlaku di Caloris Basins. Ia merupakan impak yang terbesar pernah berlaku di sistem suria kita (1300 km diameter). Oleh kerana Utarid terdedah kepada hentaman-hentaman meteorit, keadaan permukaannya lebih banyak kawah-kawah.
Lapisan atmosfera:
Utarid mempunyai lapisan atmosfera yang nipis (exosphere) dan bersifat sementara. Keadaan tarikan gravitinya yang kecil menyebabkan lapisan atmosfera ini hilang ke angkasa dan juga ditiup oleh angin solar. Gas-gas yang terdapat adalah seperti hidrogen, oksigen, helium, wap air, sodium, dan potassium.
Sejarah:
Rekod terawal yang diketahui melalui rekod pemerhatian MulApin tablet (ancient Babylon). Orang Babylon menggelarnya Nabu iaitu utusan Tuhan sekitar 1000 BCE. Pada 350 BCE, orang Greek menamakannya Hermes. Sekitar kurun kelima, ahli astronomi India hampir mengukur dengan tepat diameter Utarid tanpa menggunakan teleskop dan direkodkan dalam buku Surya Siddhanta.
Pada tahun 1611, Galileo pertama kali menemukan Utarid menggunakan teleskop tapi tidak berjaya menemukan fasa-fasanya. Pada tahun 1631, ahli astronomi Perancis, Pierre Gassendi menemukan Utarid melepasi hadapan matahari. Ahli astronomi Itali, Giovanni Zupi pertama kali melihat fasa-fasa Utarid pada tahun 1639.
Misi-misi ke Utarid:
- 1973: Mariner 10 – NASA (flyby)
- 2004: MESSENGER – NASA (orbiter)
- 2018: BepiColombo – ESA and JAXA (orbiter)
#DrNapeng #SiriMengenaliPlanet
Fakta dari Ini Sains Beb
Rujukan:
Martin, R (2005). Universe The Definitive Visual Guide. Dorling Kindersley Ltd: London, UK
Aderin-Pocock, M (2014). The Planets, The Definitive Visual Guide to Our Solar System. Dorling Kindersley Ltd: London, UK
Gambar diambil dari: https://solarsystem.nasa.gov/planets/mercury/overview/