Taman Agro Niranur Tawar Pengalaman Sedut Madu Terus Dari Sarang Lebah

TRAVEL
February 26, 2020 - 04:13 PM


Kalau korang pergi bercuti ke Kuching, Sarawak dan ingin merasai pengalaman menyedut madu kelulut asli menggunakan straw terus dari sarang lebah --- korang jangan lupa untuk singgah ke TAMAN AGRO NIRANUR di Sematan, iaitu kira-kira 105 km atau pemanduan sekitar 1 jam setengah dari bandar Kuching.

Kemasukan ke taman ini adalah PERCUMA dan hanya dengan bayaran sebanyak RM3, korang berpeluang menikmati sendiri madu kelulut segar dari sarangnya.

Aktiviti menarik itu dikendalikan oleh seorang pengusaha madu kelulut yang bernama Mohamad Aluis Hamri, 37 tahun yang juga pengurus taman agro berkenaan.

Menurut cerita beliau, inspirasi untuk menceburi industri madu kelulut itu timbul selepas dirinya memerhatikan serangga unik tersebut yang memiliki cara hidup aktif dan struktur koloninya yang teratur.

Pada akhir tahun 2014, Mohamad Aluis mulai mengatur langkahnya dengan mendapatkan dua sarang pertama kelulut yang diperolehinya dari hutan paya bakau yang terdapat di Sematan.

Niatnya untuk memajukan industri itu disokong ibu bapanya yang membenarkan beliau menggunakan sebidang tanah milik keluarganya di daerah paling selatan di Sarawak itu untuk memulakan sebuah taman agro dan seterusnya menempatkan lebih banyak sarang kelulut.

Menjelang 2015, sebanyak 40 sarang kelulut telah ditempatkan di Taman Agro Niranur sebelum bertambah menjadi 160 pada tahun berikutnya, 180 pada tahun 2017 dan meningkat menjadi 220 sarang sekarang.

Dengan penambahan sarang itu juga kini hasil pengeluaran madu kelulut meningkat daripada hanya sekitar 50 kg sebulan menjadi hingga 100 kg.

Sejak dibuka kepada orang ramai pada 2015, Taman Agro Niranur menerima kira-kira 40,000 orang pengunjung setiap tahun.

Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), dijangkakan lebih ramai lagi pengunjung, khususnya di kalangan peminat madu kelulut akan datang ke taman ini.

TAMAN AGRO NIRANUR 

Alamat: No 5, Jalan Seacom, Kampung Sungai Kilong, 94100 Sematan, Sarawak

No Tel: 082-711207 / 019-8891241

Facebook: Madu Kelulut Sematan NIRANUR

 

 

Destination: