Taman Botani Kepong & Taman Warisan FRIM Dibuka Mulai 1 Julai Ini

TRAVEL
June 29, 2020 - 12:28 PM


Bagi orang ramai yang telah lama ingin beriadah atau berjogging di Taman Botani Kepong (KBG) dan Taman Warisan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) -- anda boleh melakukan segala aktiviti tersebut mulai 1 Julai ini.

FRIM menerusi perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan, waktu operasi KBG dibuka setiap hari dihadkan kepada sesi pagi (7 pagi-11 pagi) dan petang (4 petang-11 petang) sementara Taman Warisan dibuka bermula jam 7 pagi hingga 6 petang.

Kenyataan menyebut, pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera dan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik atau bergejala tidak dibenarkan masuk.

Malah untuk tujuan penjarakan sosial, FRIM turut menetapkan had maksimum pengunjung bagi satu-satu masa adalah 150 orang dan dibenarkan berada di KBG selama sejam bagi setiap seorang, sementara bagi Taman Warisan FRIM jumlah pengunjung dan tempoh masa dibenarkan tidak dihadkan.

Pengunjung yang hendak memasuki KBG dan Taman Warisan FRIM perlu mematuhi syarat-syarat berikut:

  • Bilangan individu untuk berjogging pada satu-satu masa: KBG (maksimum 150 orang) & Taman Warisan (tidak terhad);
  • Tempoh kemasukan: KBG (maksimum sejam sahaja bagi setiap pengunjung) & Taman Warisan (tidak terhad);
  • Kawasan yang dibenarkan: Hanya jalan berturap
  • Dilarang menjalankan aktiviti berkumpulan seperti taichi, zumba atau menggunakan pondok rehat serta fasiliti ‘parcourse’.

Bagaimanapun, kampus utama FRIM kekal ditutup kepada orang ramai sehingga akhir tahun ini.

Namun terdapat aktiviti dibenarkan secara bersyarat iaitu lawatan berpandu dengan jumlah peserta dihadkan kepada 10 orang sahaja yang perlu dibuat secara tempahan awal iaitu 3 hari sebelum tarikh lawatan.

Selain itu sewaan bilik untuk mesyuarat dan kursus dihadkan 15 orang setiap satu masa.

Sebarang aktiviti fotografi perkahwinan dan penggambaran komersial serta sewaan basikal adalah dilarang sehingga akhir tahun. 

Malah, rumah-rumah tetamu, Kem Perah, Kawasan Perkelahan Sungai Kroh, air terjun serta fasiliti sukan (gelanggang badminton/futsal/skuasi/padang bola dan Kelab FRIM) juga ditutup.

Bagi mendapatkan lebih perkembangan terperinci mengenai operasi Taman Botani Kepong atau FRIM boleh layari Facebook rasmi FRIM.

Sementara untuk sebarang pertanyaan, boleh emel kepada: [email protected] atau [email protected].

Sumber: FRIM

Destination: