Tengah Kelik Kelate Ke Tu? Jangan Lupa Singgah Bukit Kudung, Jeli Untuk 'Percutian Alam'

TRAVEL
July 30, 2020 - 04:24 PM


Setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, antara negeri yang paling meriah meraikannya pastilah negeri di Pantai Timur terutama Kelantan -- hinggakan keadaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sesak teruk dengan ratusan ribu kenderaan berpusu-pusu untuk kelik Kelate!

Disebabkan cuti raya yang agak panjang pada kali ini, mungkin selepas meraikan ibadah korban dan mengunjungi sanak-saudara, anda boleh menyambung percutian di Bukit Kudung, Jeli yang semakin menjadi sebutan ramai.

Lokasinya yang dekat dengan Lebuh Raya Timur-Barat dan berhadapan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sangat mudah untuk disinggahi jika anda sekeluarga datang bagi melepaskan lelah sambil menghirup udara semulajadi di sana, apatah lagi dengan adanya Air Terjun Lata Keding yang sangat mempesonakan.

Percayalah bahawa sebaik sahaja anda memasuki kawasan Lata Keding, anda pasti terpukau dengan keaslian sumber alam khatulistiwa itu yang masih kekal terjaga dan terpelihara.

Deruan air sungai jernih yang mengalir tenang, kicauan burung dan unggas yang mendamaikan pastinya bakal membuat percutian anda semakin mendamaikan jiwa.

Selepas bermandi-manda dan berkelah di air terjun tersebut, anda sekeluarga juga boleh menginap di Lalang's Resort & Spa yang ada berdekatan lokasi tersebut yang telah beroperasi beberapa tahun lalu.

Destinasi rekreasi itu dilengkapi restoran, kolam, trek mendaki, lokasi untuk aktiviti luar seperti berkhemah, trek 'motorcross', dewan terbuka, tandas awam dan chalet penginapan.

Selain air terjun, antara tarikan utama pengunjung ke kawasan itu adalah menara kincir angin dan tugu "I Love Bukit Kudung Jeli" yang terletak megah di resort berkenaan.

Tidak ketinggalan, kolam mata air berbentuk 'love' yang menyambut kedatangan pengunjung menambahkan lagi pesona keindahan semula jadi di kawasan itu.

Andai masih mempunyai stamina, pengunjung juga boleh cuba mendaki Bukit Kudung setinggi 448 meter.

Laluan pendakiannya tidak kurang mencabar namun semua itu berbaloi kerana panorama alam semula jadi yang disajikan begitu indah.

Jika lapar atau dahaga, pengunjung juga tidak perlu risau kerana terdapat restoran yang menyediakan beraneka hidangan tempatan lazat dengan harga berpatutan.

Pendek kata, meskipun jauh nun terperosok dalam bukit namun pelbagai kemudahan disediakan demi keselesaan pengunjung.

Menurut kata ramai pengunjung di situ, menu 'Sotong Telur Masin' antara hidangan yang wajib dicuba jika ke sana.

Jadi, jangan lupa berkunjung ke Lalang's Resort & Spa bagi merasai sendiri pengalaman 'bersatu' dengan alam semula jadi yang menenangkan serta jauh dari hiruk-pikuk kota.

ALAMAT: PT 6293, Sungai Keding, Kampung Gemang, 17700 Ayer Lanas, Jeli, Kelantan.

NO TEL: 010-888 8898

FACEBOOK: Lalang’s Resort&Spa

Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: FB Lalang's Resort & Spa

Destination: