Tak Perlu Bakar Atau Pakai Buluh, Ini Cara Mudah Buat Lemang Guna Cawan Kertas!

FOODIE
April 15, 2020 - 04:55 PM


Tak lama lagi umat Islam di seluruh negara bakal menyambut ketibaan bulan Ramadan dan disusuli dengan Hari Raya Aidilfitri.

Namun seperti yang kita sedia maklum, keadaan semasa akibat penularan COVID-19 telah membuatkan kita semua terkurung di dalam rumah tanpa kemeriahan sambutan puasa seperti tahun-tahun sebelumnya -- tiada bazar Ramadan, tiada solat tarawih dan jika dilanjutkan sehingga ke bulan Mei kita juga berkemungkinan hanya beraya di rumah tanpa boleh pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sedih, kan bila mengenangkan tak dapat menikmati air tangan juadah raya ibu dan insan tercinta, seperti lemang, rendang, ketupat dan kuih raya kegemaran.

Tetapi, korang jangan risau sebab korang pun sebenarnya boleh je buat lemang sendiri tanpa perlu keluar mencari buluh atau bakar di tempat terbuka.

Bahan-bahan serta cara membuat lemang ini pun mudah sahaja, orang bujang pun boleh cuba untuk makan sendiri. Jadilah bagi melepaskan rindu lemang di kampung.

BAHAN-BAHAN :

- 1/2kg beras pulut dicuci dan toskan
- Santan kotak KARA
- 1 sudu teh garam
- Cawan kertas / tin minuman
- Daun pisang
- Air 

CARA MEMASAK :

1. Basuh beras pulut dengan bersih dan toskan.
2. Lap daun pisang hingga bersih.

3. Masukkan daun pisang ke dalam cawan kertas atau tin (apa-apa tin buangkan atas bahagian buka) 
4. Isi Beras pulut JANGAN penuh dan JANGAN ketuk cawan untuk bagi mampat.

5. Masukkan santan Kara yang telah dicairkan dengan air dan campur garam secukupnya.

6. Kukus selama 2 jam. Selepas sejam buka tutup pengukus, tekan menggunakan garfu sekiranya sudah lembut boleh biarkan sehingga masak. Namun jika masih keras, masukkan sedikit santan dan kukus lagi.

7. Guntingkan cawan kertas / tin dan buang.

8. Potong lemang mengikut cita rasa, kemudian bolehlah dimakan bersama lauk sampingan kegemaran seperti serunding, rendang dan sebagainya.

Selamat mencuba!

Sumber: Zulena Ismail

 

 

 

Destination: