Cuti Hari Merdeka Nanti Tak Tahu Nak Pergi Mana? Jom Naik "Tren Khas MySawasdee" Ke Hatyai!

TRAVEL
July 05, 2023 - 11:50 AM


Cuti Umum bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti, korang dah ada perancangan untuk bercuti ke mana-mana?

Jika masih tiada, jom kita naik tren ke Hatyai, Thailand untuk misi jalan-jalan cari makan (JJCM)! Mesti syok kan!

Bermula hari ini (5 Julai 2023) --  Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan trip perkhidmatan tren dari ibu negara terus ke Hatyai.

Menerusi hantaran dalam laman sosial operator rel itu -- perjalanan tersebut dikenali sebagai "Tren Khas MySawasdee".

Lebih menarik tren berkenaan hanya mengenakan tambang istimewa serendah RM75 sehala dari stesen KL Sentral ke Stesen Hatyai Junction menerusi pertukaran di Padang Besar.

Jualan tiket ini telah dibuka bermula pukul 10 pagi 5 Julai semalam dan penumpang boleh membelinya menerusi laman rasmi online, aplikasi KTMB Mobile atau semua medium penjualan sah.

Tren tersebut akan berlepas dari stesen KL Sentral pada pukul 10.40 malam 30 Ogos dan tiba esoknya di bandar raya terbesar wilayah Songkhla, selatan Thailand itu pada 9.05 pagi waktu tempatan.

Seterusnya tren berkenaan akan berpatah balik dari stesen Hatyai pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan 2 September dan dijangka tiba di KL Sentral pukul 11.05 malam keesokannya.

Pelbagai pilihan koc disediakan pihak KTMB seperti koc tempat duduk, koc katil, koc kafe untuk makan-makan dan koc chillax untuk rehat santai atau solat.

Penumpang boleh juga membeli tiket perjalanan dua hala untuk mengelak kehabisan dan pembatalan tiket itu tertakluk kepada prosedur atau terma ditetapkan KTMB.

Bagi yang berminat untuk menghabiskan cuti sempena Hari Merdeka nanti, korang bolehlah cepat dapatkan tiket Tren Khas MySawasdee sebelum kehabisan!

Destination: