"Ada Suite, Lounge, Restoran & Karaoke" - Jom Cuti Bagaikan Raja Dengan Koc Mewah KTMB Ini!

TRAVEL
June 01, 2023 - 03:50 PM


Jika di luar negara banyak percutian menaiki tren mewah ditawarkan kepada pelancong bagi memberi pengalaman berbeza daripada menggunakan kapal layar mewah atau pesawat persendirian.

Sebenarnya di negara kita juga mempunyai tawaran koc mewah daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang baru sahaja dibuka untuk perjalanan ke negara jiran Thailand.

Menariknya, koc mewah atau 'Luxury Coach' yang disediakan oleh KTMB itu mempunyai suite bilik tidur peribadi dilengkapi bilik mandi, restoran dan siap ada bilik karaoke.

Kemudahan yang selesa di koc mewah itu juga bertambah eksklusif dengan rekaan tema zaman Victoria.

Menurut KTMB yang dipetik oleh World of Buzz -- koc mewah berkenaan secara rasminya dikenali sebagai Reserved Saloon Coach di bawah kategori Charter Train.

Setakat ini, tiada laluan tetap bagi kereta api yang mempunyai koc mewah berkenaan -- tetapi penumpang bebas memilih destinasi mereka iaitu sehingga ke Hatyai, Thailand!

Tarikan terbaharu daripada KTMB ini boleh dimanfaatkan kepada pengembara secara berkumpulan yang mempunyai destinasi berbeza-beza bergantung kepada pilihan percutian mereka.

Namun, penumpang dikehendaki menempah sekurang-kurangnya 3 koc buatan khas tersebut bagi  digabungkan dengan koc penumpang lainnya.

KTMB juga memberitahu bahawa kereta api itu tidak mempunyai jadual yang tetap, malah harganya juga ditentukan kepada bilangan hari perjalanan, jarak perjalanan dan sebarang perkhidmatan tambahan.

Bagaimanapun menurut laporan media, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi jaminan sewaan harga koc mewah berkenaan bakal mengenakan harga mampu milik serta berpatutan.

Sekiranya anda berminat, anda boleh menghubungi 03-22631078 untuk memahami lebih lanjut mengenai tren sewa KTMB itu kerana tempahan hanya boleh dibuat melalui panggilan telefon sahaja buat masa ini.

Destination: