Kereta Api Enjin Stim Konsep Tradisional : Tarikan Terbaru Pelancongan Malaysia, Mula Operasi Januari 2024

TRAVEL
May 10, 2023 - 01:13 PM


Mulai Januari tahun depan, Malaysia akan mempunyai satu lagi tarikan terbaharu iaitu kereta api enjin stim dengan hiasan dalaman koc penumpang berkonsepkan tradisional.

Ketua Pegawai Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Mohamed Suhaimi Yaacob berkata inisiatif Tourism Heritage Steam Locomotive Train -- yang merupakan kerjasama antara KTMB dan Great Leisure Sdn Bhd itu bertujuan menarik minat pelancong tempatan dan luar negara untuk menikmati keindahan alam di sepanjang laluan kereta api.

Kereta api enjin stim itu bakal menjanjikan pengalaman unik kepada penumpang untuk menikmati keindahan lokasi tarikan pelancongan yang menarik di sepanjang laluan kereta api -- khususnya di laluan hutan iaitu dari Gemas, Negeri Sembilan hingga ke Tumpat, Kelantan.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Kereta Api antara KTMB dan Great Leisure bagi kerjasama itu -- beliau berkata Kuala Lumpur dan Butterworth akan menjadi destinasi permulaan bagi perkhidmatan kereta api enjin stim itu sebelum meliputi destinasi lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan Great Leisure Datuk Dzulfadly Abdullah berkata hiasan dalaman koc penumpang itu menggunakan sepenuhnya hasil kerja tangan ukiran anak tempatan yang ketika ini telah siap kira-kira 70 peratus.

Destination: