"Min J-KOM Ni Tak Pernah Masuk Dapur Ke?" - Netizen Sarkastik Poster 'Belanja Dapur' JPM
TERKINISebuah poster mengenai ‘belanja dapur’ untuk keluarga dan golongan bujang yang dikongsi oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di media sosial mengundang kritikan ramai.
Poster berkenaan memaparkan persoalan sama ada belanja dapur sebulan benar-benar telah meningkat dari RM200 kepada RM500 seperti yang dilaporkan oleh media.
“Rujuk poster untuk simulasi anggaran belanja dapur untuk satu bulan. Simulasi ini menggambarkan contoh belanja dapur keluarga dengan isi rumah seramai empat orang dan juga bagi individu bujang.
“Barang-barang yang diambil kira adalah merupakan barang dapur asas yang lazimnya digunakan kebanyakan orang.
“Untuk perhatian, ini adalah contoh pengiraan barangan kawalan dan subsidi kerajaan sahaja, tidak termasuk barangan lain,” katanya.
BENARKAH BELANJA DAPUR MENINGKAT DARI RM200 KE RM500?#MalaysiaMadani#JKOM#JPM pic.twitter.com/xME7VlTipj
— Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) (@dccomm_gov) July 12, 2023
Melalui poster tersebut J-KOM menganggarkan belanjar dapur untuk keluarga seramai empat orang hanya RM397.80 sebulan atau RM99.45 seminggu.
Perbelanjaan seminggu meliputi pembelian dua ekor ayam empat kilogram (RM37.60), beras 10kg (RM38), minyak masak 2kg (RM13.80 sen), telur sepapan (RM14), dua roti size jumbo (RM8.60) dan gas memasak 12kg (RM25.80).
Manakala perbelanjaan bagi golongan bujang RM234.60 sebulan atau RM58.65 seminggu.
Perbelanjaan seminggu meliputi satu ekor ayam dua kilogram (RM18.80), beras 10kg (38kg), minyak masak 1kg (RM6.90), telur sepapan (RM14), roti (RM3) dan gas memasak 12kg (RM25.80).
KOMEN NETIZEN
Bagaimanapun selepas 24 jam poster tersebut dikongsi hampir 98 peratus daripada 16, 000 komen mengecam kiraan yang dibuat J-KOM.
Rata-rata berpendapat anggaran berkenaan dilakukan tanpa membuat kajian sebenar situasi semasa yang dihadapi rakyat.
“Bawang-bawang dan seangkatan dengannya tanam sendiri geng, garam, gula, ajinomoto tak payah guna dah lepas ni,” kata Cinta Siara.
“Ayam dua ekor makan untuk seminggu satu keluarga? Helooo!” kata Raja Nashrun.
“Menu ayam, telur je ke? Esok naik lagi la harga ayam dengan telur,” kata Aiza Ahmad.
“Cuba beli barang di Sabah. Lagi mahal dari poster ini. Kos sara hidup semakin tinggi. Keras kehidupan walaupun bergaji,” kata Erni Erni Lewa.
“Sarapan roti telur, telur hancur. Tengah hari ayam goreng. Hari-hari makan macam tu, silap-silap berkokok,” sindir Muhamad Fadzil.
“Siapa admin ni, teringin nak jadi pemantau secara percuma je. Nak pastikan dia makan macam mana yang dia kira ni,” kata Roszida Kamaruddin.
“Anda membuat tinjauan berdasarkan apa? Di mana otak anda semasa membuat tinjauan ini? Atau anda masih hidup di awal 90-an?” soal Den Peng.
“Aku bujang yang masak hari-hari dan bawa bekal pun barang dapur tak dapat harga gini. Camner dia orang kira ni. Ke aku ni boros tak reti berbelanja?” tanya Meeraa Esmaell.
“Garam, gula, kopi, teh, susu anak. Kepada yang buat infografik ni tak payah sebulan amalkan la selama seminggu aku nak tengok tahan ke tak,” kata Mohd. Amiruddin Abu Bakar.
“Suka mengusik ya,” tanya pempengaruh media sosial terkenal Azizul Azli Ahmad.
Poster berkenaan dikongsi hampir 10,000 kali dan turut mendapat 10, 000 reaksi dengan 8,900 daripadanya meletakkan ikon wajah ketawa.
Sebelum ini sebuah akhbar tabloid menyiarkan laporan berita bertajuk ‘Dulu belanja dapur RM200 kini jadi RM500 sebulan.
Sumber: Malaysia Gazette