Siti Kasim Diancam, Kereta Dipandunya Diletakkan Bom Buatan Sendiri

TERKINI
July 21, 2023 - 03:29 PM


Antara figura yang sering mencetus kenyataan kontroversi, peguam dan aktivis sosial Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim mendakwa keselamatan diri dan nyawanya diancam.

Melalui satu sesi live di Facebook miliknya, Siti Kasim mendakwa kereta yang dipandunya diletak objek yang dipercayai bom buatan sendiri.

Siti Kasim dalam siaran langsung di Facebook rasminya berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis pada 12 tengah hari.

"Terdapat dua botol mineral yang disangkut di bahagian belakang tayar kereta. Ketika ini kereta masih di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom," katanya.

Menurutnya, dia menghantar kenderaanya itu untuk diservis kerana akan ke Kelantan bagi menyelesaikan isu Orang Asli di sana.

"Saya di beritahu pemilik bengkel berkenaan dan bertanya apa sudah jadi dengan kereta saya, saya kemudian melihat gambar yang dihantar kepada saya dan sangat terkejut.

"Pihak polis kini sudah hadir dan orang ramai yang berada di pusat servis berkenaan diarahkan keluar," katanya.

Difahamkan ketika ini pihak polis sedang memeriksa kenderaan milik peguam berkenaan.

Destination: