Siti Kasim Persoal Hotel Letak Pelekat 'Non Halal Lift'. Ini Pula Respon JAKIM!

TERKINI
October 07, 2022 - 04:44 PM


Beberapa hari lepas, peguam dan aktivis Siti Kasim ada memuat naik status di Facebook beliau mengenai gambar 'non halal lift' serta meminta penjelasan daripada pihak hotel berkenaan berhubung kewajaran berbuat demikian.

Kemudian, pihak pengurusan hotel berkenaan menyatakan premis mereka menampal pelekat 'non halal lift' di dalam lif yang digunakan untuk membawa barangan tidak halal dan barang mudah rosak.

Malah dalam kenyataan yang dikeluarkan, hotel terbabit juga memaklumkan bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada syarat ditetapkan pihak berkuasa untuk memastikan mereka menerima pensijilan halal.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam maklum balasnya mengatakan bahawa tiada sebarang klausa dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 -- yang menetapkan hotel atau premis perlu meletakkan penandaan "non-halal-lift".

Bagaimanapun hotel atau premis boleh menetapkan sebarang mekanisme kawalan halal yang bersesuaian selaras dengan prosedur ditetapkan bagi menjaga integriti Pensijilan Halal Malaysia.

"Jakim ingin merujuk laporan media berhubung sebuah hotel di Kuala Lumpur yang meletakkan tanda "non-halal lift" pada salah satu lif penerimaan bahan mentah hotel berkenaan.

"Laporan berkenaan turut menyatakan arahan berhubung penandaan "non-halal lift" merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Jakim," menurut Jakim dalam kenyataan.

Sumber: BERNAMA

Destination: