10 Tips Berguna Untuk Anda Yang Kali Pertama Ke Sambutan Hari Kebangsaan!

GAYA HIDUP
August 30, 2023 - 11:51 AM


Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, akan berlangsung di Putrajaya esok.

Ini merupakan kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya iaitu sebelum ini pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

Sejumlah 10 komponen kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan, Perpaduan Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif, Komuniti, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

Tips berguna untuk anda yang kali pertama ke Sambutan Kemerdekaan: 

1. Datang awal untuk dapatkan tempat yang terbaik

Biasanya pada malam ambang Hari Kebangsaan orang ramai sudah mula bergerak ke tapak perbarisan untuk cop tempat duduk (jika bertolak selepas Subuh pun dah dikira lambat). Jika lambat, maka anda terpaksa berdiri sepanjang sambutan berjalan

2. Bawa payung atau kipas tangan, dan pakai topi!

Bila suatu majlis berlangsung di tempat terbuka, apa sahaja boleh berlaku. Sama ada hujan atau cuaca yang sangat panas. Khemah tidak disediakan.

3. Bawa bekalan air atau makanan sampingan yang mencukupi.

Keadaan mungkin akan menjadi sangat sesak dan boleh menyebabkan anda berasa haus dan juga lapar. Jadi, alas perut dahulu dan pastikan ada air mineral.

4. Powerbank jangan lupa!

Anda pasti akan cuba mengambil gambar atau rakam video sebanyak yang boleh.

5. Sediakan tisu atau pun tuala yang boleh digunakan jika perlu.

Almaklumlah ramai orang ni memang panas. Boleh la guna tuala untuk lap peluh. Jangan bawa tuala mandi anda pula ya!

6. Bawa wang tunai yang secukupnya.

Sekarang zaman cashless. Tetapi, atas faktor keselamatan kerana kehadiran ramai VIP dari kepimpinan tertinggi negara, maka line internet anda mungkin akan perlahan. Jadi untuk untuk memudahkan anda membeli lebih baik sediakan wang tunai.

7. Elak bawa anak kecil atau warga emas.

Keadaan akan menjadi sangat sesak, dan kemungkinan bagi anak kecil atau warga emas akan menjadi kurang selesa dan juga sukar untuk bernafas. Maka, elakkanlah dan tonton siaran langsung di televisyen pun cukup meriah!

8. Setkan lokasi pertemuan bersama rakan atau keluarga.

Bila suatu lokasi itu begitu padat dengan pengunjung, maka lebih baik anda rancang terlebih dahulu untuk berjumpa di suatu lokasi yang khusus untuk melancarkan perancangan anda. Mana lah tahu jika ada yang terpisah, maka lokasi tersebut boleh dijadikan meeting point.

9. Rancang perjalanan anda.

Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan, umumnya ada pelbagai mod pengangkutan yang disediakan untuk anda. Jadi pilihlah jalan yang terbaik. Anda boleh memandu sendiri, naik pengangkutan awam atau tumpang kawan anda. Kalau tumpang duit minyak tu hulur la sikit okay? 

10. Jaga landskap yang ada di sekeliling

Ini pesanan khidmat masyarakat yang perlu anda ingat dan patuhi! Pada sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu di Dataran Merdeka banyak landskap di sekitarnya yang rosak dan musnah akibat dipijak ataupun dirosakkan oleh pengunjung. Maka, raikanlah Hari Kebangsaan Negara dengan penuh rasa patriotik dan juga tanggungjawab okay!

Destination: