[VIDEO] "Didakwa Ganggu Isteri Orang" - Seorang Penjawat Awam Maut, Suspek Direman 7 Hari Di Kelantan

TERKINI
September 04, 2023 - 01:04 PM


Hanya gara-gara didakwa mengganggu isteri orang, seorang lelaki bergelar penjawat awam maut akibat pergaduhan teruk di Machang, Kelantan pagi semalam (3 September).

Mangsa yang berusia 40-an meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Saksi kejadian, Zahid Hasran berkata dia melihat dua lelaki berkenaan berbual selama 20 minit sebelum salah seorang daripada mereka memukul dan kemudian saling membalas.

Zahid yang juga pekerja di sebuah kedai membaiki motosikal berkata, dalam kejadian pada jam 11 pagi itu -- dia melihat sebuah kereta sedang menunggu di hadapan kedai menjual dedak yang terletak bersebelahan dengan tempat kerjanya.

Katanya, pada ketika itu, dia tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah mangsa dan seorang lagi lelaki berbincang secara serius namun tidak mendengar dengan jelas apa yang sedang dibincangkan mereka kerana sedang bekerja.

"Tidak beberapa minit kemudian, saya melihat mereka saling bertumbuk dan saya cuba untuk menghalang pergaduhan itu namun tidak berani mendekati kerana mereka terlalu agresif dan saya memberi amaran mahu menghubungi polis.

"Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mengendahkan amaran yang diberikan sehingga polis tiba ke lokasi kejadian untuk meleraikan pergaduhan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian iaitu di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala, Machang, Kelantan.

Katanya, akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar menaiki ambulans ke Hospital Machang yang hanya beberapa meter dari lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, saya difahamkan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki yang disyaki menyebabkan kematian seorang penjawat awam dalam pergaduhan pada Ahad direman selama tujuh hari bermula Isnin.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Amal Razim Alias.

Tempoh tahanan reman berakhir pada 10 September ini.

Sebelum itu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Tanah Merah menaiki kenderaan polis kira-kira jam 9 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna ungu.

Media pada Ahad melaporkan, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes pergaduhan yang mengakibatkan kematian mangsa di Jalan Lama Pasir Putih-Machang di hadapan Hospital Machang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian ialah suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Menurut beliau, suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek merupakan penjawat awam di sebuah jabatan yang sama di Kuala Krai.

Pergaduhan mengakibatkan mangsa yang berusia 51 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan dan pendarahan serius di bahagian muka selain parah di kedua-dua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri.

Sumber: Harian Metro

Destination: