Hidangan Lengkap Makanan Panas MAS Kembali Sepenuhnya November Ini
TRAVELMalaysia Airlines Bhd menyasar untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan hidangan makanan lengkap menjelang pertengahan November tahun ini.
Syarikat penerbangan nasional itu berkata, pengembalian semula perkhidmatan makanan panas di laluan domestik dan antarabangsanya yang terjejas akibat peralihan katering baru-baru ini dipulihkan dengan ketibaan 10 trak lif tinggi baharu lebih awal daripada jadual.
Ia sebelum ini menjangka akan mengembalikan semula tawaran makanan dan minuman panas (F&B) untuk semua penerbangannya mulai minggu ketiga September.
"Malaysia Airlines menjangkakan ketibaan 10 lagi lif tinggi dalam bulan-bulan mendatang, sambil meningkatkan dan memperhalusi komponen makanan pra-pembungkusan secara proaktif dalam tempoh sementara," katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia Airlines berkata, trak lif tinggi adalah bahagian penting dalam keseluruhan proses hidangan makanan dalam pesawat syarikat penerbangan dengan memastikan standard kualiti dan keselamatan makanan terjamin.
Ia berkata, syarikat penerbangan itu akan memastikan bahawa troli makanan berada pada suhu yang betul, mengekalkan kesegaran makanan panas dan ambien, di samping mengekalkan amalan ketat sepanjang proses.
"Dengan ketiadaan lif tinggi, Malaysia Airlines menangguhkan sementara tawaran makanan panas untuk memastikan keselamatan makanan tidak terjejas," katanya.
Sejak 11 September lalu, Malaysia Airlines telah memperkenalkan semula hidangan panas ringkas untuk penumpang Kelas Perniagaan di laluan Bangkok dan Denpasar.
Mulai hari ini, penumpang Kelas Ekonomi yang pergi ke Bangkok dan Denpasar, serta penumpang semua kelas kabin dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Kuching, Manila dan Hong Kong, juga akan dihidangkan makanan panas.
Penumpang Kelas Perniagaan yang menuju ke semua sektor Asia Selatan juga akan menikmati sate Malaysia Airlines yang terkenal -- sementara bandar-bandar ASEAN lain akan dihidangkan dengan hidangan panas secara berperingkat.
Sementara itu, penumpang yang melakukan perjalanan ke destinasi Asia Selatan, Asia Utara dan Australia yang lain akan terus menerima makanan panas yang dipermudahkan di atas kapal.
Pada 1 September lalu, Malaysia Airlines memperkenalkan tawaran makanan dalam penerbangan yang disemak semula pada laluan yang sebelum ini disediakan oleh bekas penyedia kateringnya.
Ia termasuk kacang tanah dan minuman khas, minuman dalam kotak sedia untuk dibawa dengan pastri, coklat, biskut dan minuman yang siap dibungkus atau makanan panas dalam bekas pakai buang dihidangkan dalam dulang yang dipermudahkan.
Perkhidmatan di laluan London, Auckland, Jeddah, Madinah, Osaka dan Haneda kekal tidak terjejas.
Malaysia Airlines menubuhkan pusat pengedaran sementara di KLIA, untuk menguruskan pengumpulan barangan F&B oleh pembekal masing-masing dan mengangkat kotak makanan ke pesawat melalui trak lif tinggi.
Operasi pusat itu adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan diperakui oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk kebersihan dan persekitaran menepati piawaian keselamatan dan kebersihan makanan.
Kontrak katering yang lama terjalin antara MAB dan Brahim's Food Services (BFS) berakhir pada 31 Ogos 2023 selepas rundingan meluas antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 tidak menghasilkan perjanjian yang baik.
Sumber: Berita Harian