Siling SkyBridge KLIA Terminal 2 Runtuh, MAHB Kata Punca Cuaca Buruk

TERKINI
October 25, 2023 - 04:19 PM


Sekarang ini boleh dikatakan hampir setiap hari hujan akan melanda tidak kiralah sama ada siang ataupun malam memandangkan negara kita sedang mengalami Fasa Peralihan Monsun bermula 19 September hingga November depan.

Keadaan ini juga akan menyebabkan beberapa lokasi di beberapa negeri mengalami kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam masa yang singkat.

Disebabkan keadaan cuaca yang buruk itu juga, ada insiden yang berlaku di KLIA Terminal 2 apabila sebahagian siling SkyBridge lapangan terbang berkenaan dilaporkan runtuh.

Insiden itu dimaklumkan oleh pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sendiri menerusi akaun Twitter (X) pada petang semalam (24 Oktober).

Menurut MAHB dalam kenyataan tersebut, runtuhan itu berlaku di Aras 3, Balai Perlepasan di SkyBridge tersebut -- namun tiada kecederaan dilaporkan akibat kejadian berkenaan.

Menerusi hantaran yang sama, MAHB turut memaklumkan bahawa kerja-kerja membaiki runtuhan siling itu sedang dijalankan.

Malah, kawasan tersebut ditutup hingga proses pembaikan tamat dan pemeriksaan keselamatan selesai.

“Sila elak kawasan yang ditutup untuk keselamatan anda. Jika anda memerlukan bantuan, sila hubungi Duta Airport CARE kami,” menurut MAHB.

Insiden berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

Destination: