"Sampai Bila Taknak Bayar?" - Syarikat Bubble Bee Didakwa Tak Carum KWSP, Lambat Bayar Gaji
HIBURANSeorang individu yang tidak dikenali telah memuat naik satu surat terbuka tentang syarikat pencuci mulut dan manisan milik pelawak Shuib, Bubble Bee di platform media sosial TikTok.
Menerusi kenyataan tersebut, individu berkenaan mendakwa syarikat tersebut telah culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai majikan untuk mencarum menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Syarikat Bubble Bee didakwa menolak bahagian gaji pekerja bagi caruman KWSP setiap bulan tetapi tiada transaksi yang berlaku pada akaun para pekerja.
“Sampai bila ya tak nak bayar KWSP pekerja? Setiap bulan dalam slip gaji untuk EPF ditolak sedangkan dalam I-Akaun KWSP tiada transaksi kemasukan duit dibuat. Ke manakah duit yang hilang hasil daripada penolakan EPF di dalam setiap slip gaji pekerja tu?
“Pekerja bukan seorang dua tapi beratus. Benda ini menjadi tanda tanya semua orang yang bekerja di bawah syarikat anda. Masuk sahaja tahun 2023 tiada sebarang pembayaran KWSP dibuat. Kalau ada pun hanya satu bulan atau pun dua bulan sahaja, itu pun sekadar mengaburi mata pihak yang lain.
“Sekarang ini dah hampir ke penghujung tahun, ke manakah bayaran bulan bulan yang selebihnya itu ya? Sejak tahun 2021 sehingga 2022 tiada sebarang isu mengenai pembayaran KWSP ni tapi masuk je 2023 hal ini menjadi semakin melampaui batas,” tulis individu tersebut.
Bukan itu sahaja, syarikat itu juga dikatakan kerap lewat membayar gaji pekerja, sehinggakan melebihi hari ketujuh minggu pertama bulan berikutnya.
“Cut off gaji 23 haribulan tapi gaji tetap dapat lewat 7 haribulan atau lebih dari tarikh itu. Setiap double pay atau overtime dibayar lewat pertengahan bulan," luahnya.
Tambahnya lagi, aduan ke KWSP dan Buruh sudah dibuat, tetapi pihak berkenaan masih senyap. Selain itu, individu itu juga memberitahu bahawa setiap soalan yang diajukan tentang gaji dan KWSP di media sosial pihak berkenaan akan dipadam atau disekat.
Sehingga kini,pihak Bubble Bee mahupun Shuib sendiri masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan individu tersebut.
Kredit: The Vocket & Tiktok