Liga Super: JDT Catat 'Invincibles' 2 Musim Berturut-Turut

SUKAN
December 18, 2023 - 10:34 AM


Pasukan bola sepak dari selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi meletakkan penanda aras baharu dalam saingan Liga Super setelah mencipta rekod dua musim berturut-turut tanpa mencatatkan sebarang kekalahan sekali gus merangkul gelaran juara Liga Super 2023.

JDT yang dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 musim berturut-turut mengakhiri kempen musim ini dengan 76 mata menerusi 25 kemenangan dan satu keputusan seri serta menjaringkan 100 gol dan hanya dibolosi tujuh gol.

Selain itu, JDT juga mencatat rekod sempurna apabila menggondol kesemua piala yang dipertandingkan dan merekodkan quadruple berganda, suatu pencapaian yang dilihat mustahil untuk dipecahkan oleh mana-mana pasukan bola sepak tempatan.

Menurut ketua jurulatih JDT, Esteban Solari, kesemua kejayaan ini tidak mampu direalisasikan tanpa usaha keras semua pemain sejak awal musim secara konsisten sehingga ke penamatnya.

Jelasnya, dia tidak menyangka tahun pertamanya bersama JDT mampu diwarnai dengan pelbagai kejayaan bermula dengan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super.

“JDT adalah sebuah kelab yang besar dan meletakkan standard yang tinggi setelah memenangi empat piala ini. Kita bukan sahaja mengulangi kejayaan musim lalu malah melakukan dengan lebih baik setelah memberi persembahan yang menakjubkan setiap perlawanan.

“Saya tidak pernah jangka dapat kejayaan seperti ini pada tahun pertama kerana saya ke sini dengan niat mahu membantu kelab ini menjadi lebih baik dari tahun lalu dan 100 peratus yakin kami berjaya melaksanakan tugas itu.

“Siapa sangka kami jaringkan 100 gol dan bolos hanya tujuh dan ianya pencapaian yang hebat dan sukar untuk dilakukan mana-mana pasukan dalam dunia,” katanya.

 

Kredit: Utusan Malaysia

Gambar: FB Johor Southern Tigers

Destination: