Menggambarkan Perkara Ghaib, Filem Siksa Neraka Dari Indonesia Diharamkan Tayangan Di Malaysia

HIBURAN
January 10, 2024 - 11:20 AM


Siksa Neraka yang merupakan filem dari Indonesia kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai lagi-lagi selepas influencer Lucinta Luna menyatakan hasratnya untuk kembali ke fitrah asalnya sebagai lelaki dan insaf selepas menonton filem itu.

Ini kerana, filem garapan Anggy Umbara ini menceritakan tentang pelbagai jenis seksaan di neraka setelah seseorang meninggal dunia. 

Filem yang mula ditayangkan di pawagam Indonesia sejak 14 Disember 2023 lalu itu bagaimanapun tidak akan ditayangkan di Malaysia dan Brunei.

Perkara itu disahkan oleh Antenna Entertainments di platform media sosial X tanpa memberi sebarang penjelasan atau sebab mengapa ia dilarang ditayang di Malaysia dan Brunei.

Berita yang dikongsi oleh Antenna Entertainment itu menjadi bualan hangat dalam kalangan pengguna aplikasi X. Justeru itu, warganet mula berkongsi pendapat dan membuat spekulasi punca Siksa Neraka tidak boleh ditayangkan di negara ini.

“Untuk bertanya kenapa diharamkan, sebab perkara Sam'iyyat contoh siksa kubur, siksa neraka tak boleh kita buat rekaan. Cukup sekadar mengimani bagaimana siksaannya wujud berlaku berdasarkan sumber Quran dan Hadith.

“Memang patut diharamkan. Neraka dan syurga adalah benda yg manusia tak boleh imaginasikan. Kita mendengar tapi kita tak dapat imaginasikannya sebab melangkaui pemikiran kita. Allah SWT melarang kita berfikir luar dari kemampuan kita.

“Syurga dan neraka, salah satu perkara yang TIDAK BOLEH DIGAMBARKAN dengan lakonan atau lukisan! Dahsyatnya tak tergambar. Dalam Al-Quran sendiri melarang. How can you gambarkan sesuatu yang ghaib? Yang Rasulullah SAW sendiri tak dapat gambarkan melalui perkataan?" tulis mereka.

Untuk makluman, filem Siksa Neraka ini diadaptasi dari sebuah komik karya MB Rahimsyah berjudul ‘Siksa Bagi Para Pelacur’ yang popular pada tahun 1990-an di Indonesia.

Destination: