"Pesakit Bukan Ditidurkan Tetapi Diintubasi" - Ramai Salah Faham, Dr Malar Beri Penjelasan
GAYA HIDUPSemenjak kes COVID-19, kita selalu dengar tentang proses Intubasi atau bahasa mudah yang diguna ramai "ditidurkan". Ramai yang menyalahguna konteks tersebut dengan menganggap bahawa pesakit yang 'ditidurkan' akan meninggal dunia.
Disebabkan itu, timbul perspektif yang negatif kepada bidang kesihatan kerana ia didakwa sebagai sesuatu yang buruk.
Terbaru, pemergian pelawak dan ahli kumpulan Senario, Allahyarham Ahmad Hamdan Mohamed Ramli dikaitkan dengan proses 'ditidurkan' sehingga ramai yang memandang buruk akan proses tersebut.
Tak betah melihat salah faham orang ramai, pempengaruh media sosial dan doktor perubatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan memberikan penjelasan dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun TikToknya.
@drmalarss Sebenarnya #hamdansenario tidak ditidurkan. Ini perkara sebenar yang berlaku !! #celotehdrmalar #hamdansenario #hamdansenarioditidurkan ♬ original sound - CelotehDrMalar
Menurut Dr Malar, proses sebenar yang dilakukan oleh pihak hospital adalah dinamakan sebagai ‘intubasi’.
“Jangan sebut ditidurkan sebab prosedur yang sebenar adalah intubation atau dalam bahasa Melayu diintubasi.
“Proses ini adalah bantuan pernafasan bukannya kita dodoikan dan tidurkan pesakit itu.
“Bantuan pernafasan ini ada banyak peringkat dan peringkat yang paling tinggi sekali adalah apabila pesakit diberikan bantuan intubasi dan dipantau secara rapi diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” jelasnya.
Selain itu, Dr Malar juga menerangkan jenis-jenis bantuan pernafasan sedia ada di negara ini yang bergantung kepada keadaan pesakit.
Katanya, jenis bantuan paling ringan adalah tiub dimasukkan ke hidung atau ‘face mask’ kemudian barulah ‘high flow mask’ yang mempunyai satu beg oksigen.
“Kalau sampai ‘high flow mask’, pesakit masih tak dapat ‘oxygenation’ yang bagus, doktor akan ‘step up level’ seterusnya iaitu Non Invasive Ventilation (NIV).
“Maksudnya kita beri bantuan pernafasan menggunakan mesin, ia masih dipakai menggunakan sebuah topeng di permukaan muka.
“Bantuan ini hanya boleh diberikan kalau pesakit masih sedar, masih boleh terima arahan, tak meracau-racau, boleh duduk barulah kita boleh bagi NIV,” katanya.
Sekiranya pernafasan pesakit didapati terlampau lemah atau sangat lemah atau tidak bernafas tetapi nadi masih ada, pakar akan memberikan bantuan pernafasan terus kepada pangkal trakea.
“Tiub akan dimasukkan terus ke pangkal trakea di belakang peti suara atau ‘vocal cord’. Lepas itu kita sambungkan ‘beri oksigen’. Biasanya kita akan pam dahulu.
“Kalau kita nampak dada dia naik turun dengan baik, tiub tu dah diletakkan di tempat yang betul, maka kita akan sambungkan kepada mesin,” jelasnya lagi.
Tambah Dr. Malar, tiub yang dipasangkan pada mesin itu kemudiannya akan membantu pesakit yang sudah berada dalam keadaan kritikal untuk bernafas normal.
Ujarnya, banyak kes meninggal dunia terjadi adalah kerana kebanyakan pesakit sudah berada dalam keadaan yang kritikal.
“Doktor-doktor akan cuba sehingga ke garisan akhir sehabis baik. Ini sebenarnya adalah bantuan pernafasan ‘level’ paling tertinggi atau ‘kayangan’ sekali dalam banyak-banyak bantuan yang lain.
“Sebab pesakit yang diberikan bantuan intubasi dan dipantau di Unit Rawatan Rapi, maksudnya diberikan ‘highest standard of care.
“Jadi saya minta sangat dah masuk tahun 2024 ini jangan guna perkataan ‘ditidurkan’, kita bukan dodoikan atau tidurkan dia,” terangnya.
Sumber: TikTok & Kosmo