Niat Puasa Rejab Dan Amalan Sunat Berserta Doa Bulan Rejab
ISLAMIKRejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya.
Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). [Lihat: Mukhtar al-Shihah, 118]
Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya.
Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.
Doa Masuk Bulan Rejab
Doa yang anda boleh amalkan ketika memasuki bulan Rejab adalah seperti berikut :
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
Allahuma baariklana fi rajabi wasya’ban wa ballighna ramadhan
Maksud : Ya Allah, Berkatkanlah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.
[HR Baihaqi]
Niat Puasa Sunat Bulan Rejab
Anda boleh bacakan niat puasa Rejab ini untuk puasa pada mana-mana hari dalam bulan Rejab :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ فِى شَهْرِ رَجَبِ سُنَّةً ِللهِ تَعَالَى
Nawaitu sauma ghadin fi syahri rojabi sunnatan lillahi ta’ala
Ertinya : “Sahaja aku berpuasa sunat pada esok hari di bulan Rejab kerana Allah ta’ala”
Lafaz Niat Puasa Ayyamul Bidh (Puasa Hari Putih)
LAFAZ NIAT PUASA HARI PUTIH
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ اْلبِيْضِ سُنَّةً لِلهِ تَعَالَى
Nawaitu sauma ayyamal bidh sunnatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sunat hari putih kerana Allah taala
*Nota: Bagi puasa sunat, anda masih boleh berpuasa sekiranya terlupa untuk niat pada malam harinya atau keesokan harinya sebelum Subuh. Anda masih boleh berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat anda tidak makan dan minum juga tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa antara waktu masuknya waktu Subuh hingga tergelincirnya matahari,
Lafaz Niat Ganti Puasa Ramadan (Qadha’ Puasa Ganti)
Lafaz niat ganti puasa Ramadan dalam bahasa Arab serta maksudnya adalah seperti berikut :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً ِللهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Sahaja aku berpuasa pada esok hari kerana menggantikan daripada fardhu Ramadhan kerana Allah Taala”
Waktu Untuk Niat Ganti Puasa
Menerusi perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, untuk puasa Ramadan dan puasa wajib, seseorang perlulah berniat pada malam hari sebelumnya selaras dengan sabda Rasulullah SAW :
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِن اللَيْلِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa (keesokan harinya) di malam hari, maka tidak sah puasanya.
Riwayat al-Nasaie (2334)
Hukum Menggabungkan Puasa Qadha Dengan Puasa Sunat
Berdasarkan perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, adalah diharuskan untuk menggabungkan beberapa niat dalam satu puasa sunat, terutama jika perlaksanaan puasa itu berbetulan dengan hari-hari yang digalakkan puasa, seperti puasa enam syawal, hari-hari putih, isnin dan khamis.
Sebahagian ulama’ mensyaratkan supaya digabungkan niat, manakala sebahagiannya tidak, bahkan memadai meniatkannya sebagai puasa sunat secara umum bagi mendapatkan pahala berganda.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan