"Telah Diselesaikan Dengan Sempurna" - Shuib Jelaskan Isu KWSP Pekerja Bubblebee Sudah Settle
HIBURANSebelum ini, syarikat Bubblebee menjadi perhatian ramai ekoran tuntutan seorang individu di TikTok yang mendakwa syarikat yang diusahakan pelawak, Shuib tidak membayar KWSP pekerja.
Difahamkan, individu tersebut adalah bekas pekerja Bubblebee dan syarikat tersebut dikatakan belum melangsaikan hutang KWSP pekerja yang tertunggak sejak 2022 dan mengingatkan agar Shuib melangsaikan hutang tersebut.
Terbaru, pemilik Bubblebee, Shuib atau Shamira Muhammad menerusi satu kenyataan yang dikongsi menerusi media sosialnya menjelaskan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan KWSP secara formal dan mencapai satu perjanjian penyelesaian yang sempurna di hadapan Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya pada awal tahun ini.
Shuib juga menegaskan bahawa pihak Bubblebee akan mematuhi dan melaksanakan semua kewajipan selaras dengan terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui.
“Oleh itu, pihak Bubblebee dengan ini menjelaskan bahawa isu-isu tersebut telah diselesaikan dengan sempurna,” ujarnya.
Tambah Shuib lagi, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan atau tuduhan tidak benar dan berniat jahat terhadap pihak Bubblebee selepas ini.
“Pihak Bubblebee berharap sebarang spekulasi atau sebaran fitnah yang tidak berasas dihentikan segera.
“Akhirnya, pihak Bubblebee mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan saudara-saudari yang berterusan terhadap pihak Bubblebee selama ini selaku sebuah jenama tempatan Malaysia yang berhasrat dan berusaha menempa nama di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sumber: Instagram & Astro Awani