Bomba Kesan 3 Hingga 4 Kawah Air Di Dasar Pantai Batu Buruk Ketika Operasi Mencari Mangsa Lemas

TERKINI
February 21, 2024 - 02:58 PM


Sebelum ini, terdapat satu kejadian lemas yang berlaku di Pantai Batu Buruk membabitkan seorang lelaki dari Kuala Lumpur yang dipercayai hilang selepas dihanyutkan ombak ketika bersiar-siar di tepi pantai tersebut.

Pencarian mangsa yang hanyut itu telah menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengesan antara tiga hingga empat kawah air di dasar laut di sepanjang Pantai Batu Buruk.

Difahamkan, kawah air dengan kedalaman kira-kira 3.05 meter itu dipenuhi dengan sampah dan sangat berbahaya kepada pengunjung jika dihanyut ke kawasan itu.

Pengarah JBPM Terengganu Hassan As'ari Omar berkata, kawah air di Pantai Batu Buruk itu dikesan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ketika melakukan selaman dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di lokasi itu pada Ahad dan semalam. 

"Kita difahamkan, kawah air yang terletak kira-kira 50 meter daripada pesisir pantai itu terbentuk disebabkan berlakunya pusaran air.

"Kerja menyelamat mangsa lemas yang dihanyutkan arus ke dalam kawah itu mungkin terganggu disebabkan keadaan gelap dan dipenuhi sampah," katanya kepada media.

Mayat mangsa, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44 ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan di perairan Pulau Kapas dan Pulau Gemia kira-kira 16 kilometer daripada lokasi kejadian pada 4 petang semalam.

Mengulas lanjut, Hassan As'ari berkata, pengunjung tidak digalakkan untuk mandi di sepanjang Pantai Batu Buruk.

Katanya, semua pelancong dan pengunjung daripada luar negeri itu yang menginap di hotel dan inap desa di pesisir pantai diminta sentiasa berwaspada bagi mengelakkan insiden tidak diingini terutama lemas.

"Berdasarkan beberapa kes lemas di Pantai Batu Buruk, kebanyakan mangsa ditemui dalam jarak antara tiga hingga 21 kilometer, dihanyutkan arus," katanya.

 

Sumber: Harian Metro

Destination: