4 Acara Besar Bakal Berlangsung, Bukit Jalil Dijangka Sesak Hujung Minggu Ini

TERKINI
December 07, 2023 - 03:21 PM


Kawasan sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dijangka akan berdepan dengan kesesakan teruk bermula jumaat ini (8 Disember 2023) sehingga ahad (10 Disember 2023). Ini kerana empat acara besar akan berlangsung di sekitar kawasan tersebut bermula dengan perlawanan bola sepak.

Kesesakan yang dijangka berlaku antaranya bersempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu (TFC) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 9.00 malam.

Perlawanan yang dijadualkan pada jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil itu juga bertembung dengan tiga acara besar yang lain di sekitar kawasan tersebut sekaligus membayangkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung membanjiri kawasan itu.

Tiga acara tersebut adalah Program Setahun Bersama Kerajaan Madani, Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja dan Raptai Akhir Konsert Gegar Vaganza.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 8 Disember sehingga 10 Disember. Difahamkan, program tersebut akan berlangsung di tapak parkir A dan B di sekitar Stadium Bukit Jalil tersebut.

Manakala Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil sudah pun bermula sejak 5 Disember lepas dan akan berakhir pada 16 Disember ini. 

Satu lagi acara, Raptai Akhir Gegar Vaganza All Stars dijadualkan berlangsung di Stadium Axiata Arena pada Jumaat ini. Siaran langsung program tersebut akan ke udara pada Ahad, iaitu 10 Disember.

Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang melampau, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) yang disediakan.

Sebelum ini, Rapid KL telah mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada Jumaat, 8 Disember ini.

Menurut mereka, pengguna yang menggunakan token dan Touch n Go bakal mendapat diskaun sebanyak 25 peratus. Ia termasuk penggunaan perkhidmatan rel dan BRT pergi atau balik dari Stesen LRT Bukit Jalil.

 

"Semua penumpang yang membeli token atau yang menggunakan kad Touch ‘n Go untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil. Atau dari Stesen LRT Bukit Jalil untuk pulang layak menikmati diskaun tersebut," tulis pengumuman tersebut.

Dalam pada itu, perkhidmatan bas perantara percuma sebanyak 10 buah bas ke perkarangan Stadium juga akan disediakan bagi memudahkan penumpang.

 

Sumber: The Vocket

Destination: