"Kita Terlepas Peluang" - Parti Pembangkang Persoal Tindakan Kerajaan Gagal Bawa Taylor Swift Ke Malaysia

TERKINI
March 07, 2024 - 05:02 PM


Penyanyi popular yang berasal dari Amerika Syarikat, Taylor Swift kini sedang sibuk menjelajah ke serata dunia dalam siri konsert 'The Eras Tour'. Merupakan nama besar dan mampu memberi impak kepada ekonomi, banyak pihak yang mahukan penyanyi tersebut datang ke negara mereka.

Sebelum ini, perdana menteri Thailand, Srettha Thavisin ada menyatakan keinginan untuk membawa Swift ke Thailand namun gagal ekoran Singapura yang berjaya 'mengikat' penyanyi tersebut agar tidak membuat persembahan di negara Asia Tenggara yang lain.

Swift kini berada di Singapura dalam siri enam hari konsert penyanyi tersebut.

Terkini menurut satu laporan, terdapat parti politik yang mempersoalkan kegagalan pihak kerajaan untuk membawa Taylor Swift datang ke Malaysia. Anehnya, parti politik tersebut sebelum ini cukup popular mengkritik kerajaan kerana mengadakan banyak konsert.

Sebelum ini, gabungan Perikatan Nasional (PN) telah menjadi suara yang konsisten dalam mengkritik acara konsert yang dianggap “berlebihan” atau tidak selaras dengan nilai-nilai masyarakat tempatan.

Namun hal yang sebaliknya berlaku apabila Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Malaysia terlepas peluang dan menyatakan ramai penghibur hebat yang boleh dibawa untuk beraksi melalui kaedah sedia ada, namun langkah tersebut tidak dilakukan.

“Kita terlepas peluang itu. Barisan selebriti kelas A berada dalam genggaman kita melalui perjanjian dengan ASM Global (syarikat pengurusan venue AS).

“Kita mesti lebih agresif untuk mendapatkan mereka. Kejatuhan ekonomi yang besar adalah di luar politik,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Rabu.

Isu tentang membawa artis luar ke Malaysia bukan sahaja disuarakan oleh bekas menteri besar Perak tersbeut, tetapi juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq dalam kenyataannya ada menerangkan bagaimana negara jiran berjaya menjana pendapatan lumayan hasil dari konsert yang dianjurkan dan mempersoalkan keadaan di Malaysia dimana banyak pihak berbalah sesama sendiri sehingga terlepas peluang untuk meningkatkan ekonomi negara.

Jelajah Era dijangka berakhir pada bulan Disember dan dijangka menjana pendapatan dolar AS 4.1 bilion (RM19.4 bilion) yang mengejutkan.

 

Sumber: Sinar Harian & X

Destination: