Malaysia Negara Pertama Terima Visa Haji Dari Arab Saudi
TERKINIMusim haji pada tahun ini bakal tiba sekitar bulan Jun dan ini bermakna ramai umat Islam yang terpilih di Malaysia akan mengerjakan ibadah haji di kota Mekah dan Madinah.
Bagi proses ibadah haji pada tahun ini, jemaah dari Malaysia menjadi jemaah pertama di dunia yang berjaya mendapat visa haji dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Ini kerana, Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata kejayaan itu susulan persiapan awal dilaksanakan Tabung Haji (TH) dalam pelbagai aspek.
"Dengan adanya keupayaan daripada sudut komitmen warga kerja dan sistem sedia ada, apabila permohonan visa dibuka kita yang pertama sekali uruskan dengan cepat, itu asasnya dan sudah tentu melalui perjanjian yang kita uruskan daripada awal maka ia menjadi lebih mudah.
"Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas kecepatan agensi kita ini sehingga berjaya mendapatkan visa awal daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi pemprosesan visa dan pasport jemaah haji di Menara Tabung Haji.
Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata beliau turun padang untuk menyantuni dan melihat gerak kerja warga TH termasuk kakitangan sambilan yang dilantik dalam urusan pemprosesan visa.
"Alhamdulillah, saya sempat bertemu dengan mereka, memberi semangat dan mengucapkan jutaan terima kasih kerana bantu TH. Mereka sangat penting kerana visa ini kalau tidak dapat, maka jemaah kita tidak boleh ke tanah suci," katanya.