"Dibuat Dengan Rekaan Terkini Walaupun Ada Kekangan Bajet" - MOM Jawab Isu Pakaian Kontinjen Negara

SUKAN
June 25, 2024 - 04:08 PM


Menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib, pakaian rasmi kontinjen Sukan Olimpik 2024 negara dibangunkan dengan mengambil kira konsep rekaan terkini walaupun berdepan kekangan tertentu.

Beliau berkata pemilihan pakaian rasmi itu dibuat selepas MOM dan pihak penaja berbincang dan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kos yang perlu dikeluarkan. 

"Sebenarnya kita tertakluk kepada apa yang penaja boleh berikan dalam keadaan pengehadan tertentu dan ia (juga) bergantung dengan bajet. Kalau nak terbaik atau premium, itu menjadi faktor kos kepada penaja jadi ia perlu dipertimbangkan.

"Ini bukan peruntukan daripada kerajaan atau wang daripada siapa-siapa, tetapi ihsan daripada penaja," katanya. 

Semalam, pakaian rasmi kontinjen negara untuk Sukan Olimpik 2024 berupa baju berkolar, baju T dan jaket telah diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara. 

Bagaimanapun, reaksi yang diberikan peminat sukan tanah air menunjukkan ramai yang tidak berpuas hati terhadap rekaan itu. 

Berdasarkan komen di media sosial, rekaan tersebut dilihat sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini. 

Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin berkata rekaan terbaharu itu akan digunakan buat kali pertama semasa temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas pemegang taruh, atlet dan pegawai sukan berhubung reaksi yang diterima mengenai pakaian berkenaan.

"Untuk sementara ini, pakaian rasmi itu akan digunakan kontinjen ke Paris tetapi pakaian untuk upacara pembukaan berbeza, pakaian rasmi ini cuma untuk digunakan sewaktu temasya dalam perjalanan ke venue pertandingan," katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi ciapan di X menjelaskan pakaian rasmi terbaharu kontinjen negara yang dilancarkan semalam adalah di luar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke temasya pelbagai sukan adalah di bawah tanggungjawab MOM. Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex dan MOM dan ia di luar bidang kuasa KBS dan MSN," katanya.

Untuk makluman, Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan. 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: