"Tak Guna Rekaan Cantik Tapi Tak Menang Emas" - Hamidin

SUKAN
June 26, 2024 - 11:32 AM


Kritikan pedas terhadap rekaan pakaian kontinjen negara untuk Sukan Olimpik di Paris nampaknya tidak akan mengubah keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila persatuan tersebut kekal dengan pendirian dan tidak akan menukar rekaan pakaian kontinjen negara.

Sebaliknya, MOM akan memberi tumpuan kepada pemburuan pingat emas ketika temasya empat tahun sekali itu bakal membuka tirai secara rasmi pada Julai ini nanti.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, rekaan pakaian baharu yang bernadikan warna emas dan hitam berbanding warna oren sebelum ini bertujuan untuk membawa aura pingat yang menjadi idaman kontinjen negara pada temasya sukan berprestij dunia tersebut. 

Menurut Hamidin lagi, rekaan pakaian tersebut juga tiada masalah kerana masih mengekalkan identiti Harimau seperti sebelum ini selain logo yang terpampang juga adalah milik MOM bukan Jalur Gemilang seperti yang didakwa. 

Hamidin juga berharap, dalam tempoh baki 30 hari menanti Sukan Olimpik Paris, semua rakyat Malaysia memberi dukungan kepada atlet Malaysia yang berjuang di temasya terbesar dunia itu.

“Lembaga eksekutif MOM telah meluluskan reka bentuk akhir ini sebelum dipamerkan kepada umum. Saya tidak nampak ia terlalu teruk sangatlah dengan baju ini semua, jadi kita kena bersyukur tetapi kami mengambil maklum kritikan orang ramai. 

“Saya juga telah hubungi (Presiden MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria malam tadi untuk melontarkan idea kepadanya dan pada dasarnya beliau bersetuju untuk Olimpik seterusnya, kita akan buka kepada peminat untuk membuat rekaan pakai buat Kontinjen Malaysia. Selepas itu, kita akan pilih dan mungkin akan beri sagu hati kepada para pemenang.

“Mengenai rekaan baju ini juga, kita semua telah bersetuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) menunjukkan warna emas kerana warna oren yang digunakan atlet sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini meminta MOM untuk tukar warna lain.

“Misi kita adalah untuk memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Jadi, MOM sepakat dengan Yonex mengunakan tema warna emas kerana kita membawa misi untuk memburu pingat emas. 

“Saya harap pihak media dan juga netizen memberi sokongan dan bukan terus mempertikaikan warna ini semua. Kalau warna ini cantik pun tak dapat emas atau pingat pun tak guna,” katanya. 

Sebelum ini, ramai peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini. 

 

Sumber: Kosmo 

Destination: