Tinggal Komen Hina Orang Asli, Guru Sekolah Agama Disiasat

TERKINI
August 19, 2024 - 03:41 PM


Seorang guru sebuah sekolah agama di Seremban ini kini disiasat gara-gara meninggalkan komen yang menghinan Orang Asli susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Putra Hashim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang melanggar peraturan-peraturan berkuat kuasa.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan Subperaturan 19(1)(a), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] berkaitan Pernyataan Awam.

“Berdasarkan peraturan berkenaan, seseorang pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan dan keputusan kerajaan tentang apa-apa isu,” katanya hari ini

Ujar Putra lagi, kes berkenaan juga akan dirujuk pada para 5.3 (iii), Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 11 Tahun 2023 Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM.

Menurutnya, kakitangan awam KPM tidak boleh membuat atau berkongsi sebarang pernyataan yang menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dasar kerajaan, maklumat yang tidak sahih, maklumat berbentuk fitnah, hasutan dan lucah.

Destination: