Campak Air Zam Zam, Kakitangan Terbabit Digantung Tugas

TERKINI
December 14, 2018 - 02:01 PM


Viral semalam video tentang kakitangan airport mencampakkan kotak berisi air zam zam milik jemaah yang baru pulang menunaikan Umrah. Kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersebut berjaya dirakam dalam satu video berdurasi 12 saat yang tular di Facebook.

Video asal yang dikongsi oleh Zahari Basaruddin pada malam Rabu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang rata-rata tidak berpuas hati dan menganggap sikap kakitangan terbabit ‘kurang ajar’.

Tindakan mencampak kotak berisi air zam zam tersebut dilakukan oleh kakitangan Pos Aviation Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Pos Malaysia Berhad dan salah satu perkhidmatan mereka adalah mengendalikan dan menurunkan bagasi untuk penumpang.

Menurut kenyataan pihak Pos Malaysia, siasatan mendapati kejadian berlaku akibat kesesakan teruk di bahagian karusel bagasi dan perlakuan mencampakan kotak tersebut adalah untuk mempercepat proses memindahkan kotak tersebut.

Difahamkan, kakitangan terbabit telah digantung tugas dan pihak Pos Malaysia turut memohon maaf atas kejadian tersebut.