Malaysia Bakal Jadi Negara Pelancongan Durian?
TERKINIMalaysia sememangnya terkenal sebagai lubuk pengeluaran ‘Raja Buah’ iaitu durian yang boleh dikatakan antara tersedap di dunia!
Setiap tahun berita mengenai kelazatan durian kita seperti Musang King, D24, Udang Merah, I0I dan durian kampung tersebar dengan cepat, menyebabkan ramai pelancong luar yang datang ke Malaysia semata-mata ingin merasai sendiri buah tersebut.
Peka dengan perkembangan terbaru itu, Kerajaan bakal melaksanakan inisiatif yang dipanggil ‘Durian Tourism’ bagi menarik lebih ramai pelancong dari China, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat yang dilihat semakin berminat dan menggilai durian.
Memetik Bernama, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang giat merangka beberapa strategi bagi memastikan impian menjadikan Malaysia sebagai destinasi agro-pelancongan menerusi buah durian bakal terlaksana.
Ia sekaligus dapat membantu rakyat menjana sumber kekayaan baru yang lebih menguntungkan.
Seperti yang kita tahu, durian ditanam di semua kawasan seluruh negara dengan jumlah keluasan sekitar 110,000 hektar.
Namun penanaman secara komersial banyak dilakukan di Perak, Kedah, Kelantan, Johor dan Pahang.
Di bahagian utara seperti Kedah, Perlis dan Penang, musim utama durian ialah dari bulan April hingga Julai sementara di bahagian selatan pula Jun hingga September.
Di setengah kawasan di mana berlakunya musim kemarau pada pertengahan tahun, musim berbuah akan jatuh pada hujung tahun iaitu bulan November hingga Januari.
Jadi, boleh kata sepanjang tahun juga Malaysia dibanjiri dengan buah durian.
Jika misi kita berjaya untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pelancongan durian, maka satu lagi sejarah bakal tercipta dalam peta pelancongan dunia!
Sama-sama kita nantikan.