Hati-Hati! Musim Ubur-Ubur Di Sabah Dijangka Berterusan Sehingga Mei

TERKINI
April 22, 2019 - 01:07 PM


Bagi korang yang sedang bercuti atau bakal travel ke Negeri Di Bawah Bayu, ini ada satu berita yang perlu diambil perhatian.

Musim ledakan ubur-ubur di kawasan perairan Sabah dijangka berterusan sehingga bulan Mei depan berikutan keadaan cuaca panas dan kering.

Menurut laporan Bernama, pihak berkuasa negeri telah mengenalpasti satu spesies yang dominan dikenali sebagai ubur-ubur pasir.

Ia mempunyai tompok-tompok hitam dan sesungut ubur-ubur ini boleh menyebabkan kegatalan atau alergi apabila bersentuhan dengan kulit, mengakibatkan radang dan bengkak pada bahagian berkenaan.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memakai pakaian mandi yang menutupi seluruh badan bagi mengelak daripada disengat selain tidak mengutip ubur-ubur yang mati kerana ia mungkin masih mempunyai nematocysts yang masih hidup dan boleh membebaskan toksin walaupun selepas haiwan itu kering.

Lebih penting, orang ramai juga disarankan agar mematuhi papan tanda amaran selain menjauhi kawasan pantai yang dipacakkan bendera merah, menandakan kehadiran ubur-ubur.

Awal tahun ini, khususnya di pantai barat Sabah terdapat laporan berlaku ledakan ubur-ubur dan Jabatan Perikanan Sabah mengambil langkah segera dengan menghantar satu pasukan untuk menyiasat kejadian di pantai Tanjung Aru tersebut.

Jadi korang berhati-hati ya sekiranya melakukan aktiviti di laut di sana!