Greenland, Negara Paling Lama Tempoh Berpuasa Tahun Ini!
TERKINISemalam, 6 Mei 2019 umat Islam di kebanyakkan negara seluruh dunia telah mula menjalani Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.
Menurut syarak, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari, berserta niat.
Seperti yang kita sedia maklum, setiap negara mempunyai tempoh masa berbeza untuk berpuasa.
Di Malaysia, tempoh masa kita berpuasa adalah antara 13 hingga 14 jam iaitu hampir sama dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Tapi tahukah anda bahawa beberapa negara lain mengalami tempoh masa berpuasa yang lebih lama daripada kita malah melebihi 20 jam, tau?
Negara yang dimaksudkan adalah di Nuuk, Greenland yang mana umat Islamnya terpaksa berpuasa sehingga 21 jam sehari memandangkan tempoh waktu siang di negara tersebut yang sangat panjang.
Manakala di Norway dan Sweeden pula umat Islamnya berpuasa selama 20 jam lamanya.
Ia adalah disebabkan perbezaan geografi dan jarak kedudukan dengan garis waktu membuatkan tempoh berpuasa itu berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain.
Sementara itu, waktu paling pendek tempohnya adalah bagi umat Islam di Argentina dan New Zealand yang hanya berpuasa selama kira-kira 11 jam.
Bagi umat Islam di negara seperti Mexico, Sudan dan Yemen, mereka perlu berpuasa antara 14 hingga 15 jam.
Syria, Afghanistan, Maghribi, Mesir, Palestin, Tunisia dan Pakistan pula tempoh masa berpuasa selama 16 hingga 17 jam.
Jadi, bersyukurlah kita sebagai umat Islam yang berpuasa di Malaysia!
Sekurang-kurangnya tempoh berpuasa kita tidaklah selama beberapa buah negara di Utara Eropah.
Jika anda mahu melancong ketika bulan Ramadhan ini, mungkin anda boleh pilih untuk travel ke negara yang tempoh masa berpuasanya singkat. Seronok sikit, kan?
Selamat menjalani ibadah puasa!