Cambodia Henti Aktiviti Menunggang Gajah Di Angkor Wat Bermula 2020
TERKINISemakin hari, pelancong semakin sedar terhadap pengekspoitasi haiwan untuk keuntungan semata. Terbaru, aktiviti tunggangan gajah di Angkor Wat bakal dihentikan buat selama-lamanya bermula tahun 2020.
Atas desakan aktivis dan beberapa lagi usaha, sekumpulan 14 ekor gajah yang dipaksa untuk ‘bekerja’ di Angkor Wat akan dihentikan dan gajah-gajah ini kemudiannya akan dipindahkan ke pusat konservasi dan pembiakan di Cambodia pada 2020.
Pengakhiran aktiviti yang tidak berperikemanusiaan ini berlaku rentetan daripada kematian seekor gajah pada tahun 2016 yang ketika itu membawa dua orang pelancong di Angkor Wat. Kematian gajah tersebut mengundang kemarahan ramai pihak yang tidak bersetuju dengan aktiviti pengeksploitasi hidupan liar seperti itu.
Sebuah petisyen telah diadakan dan mendapat sokongan daripada 14 ribu orang untuk menghentikan aktiviti menunggang gajah di Angkor Wat.
Kalau nak diikutkan, dah lama aktiviti-aktiviti melibatkan hidupan liar ini diboikot oleh sesetengah daripada kita. Kalau perasan, Expedia dah tarik balik dan turunkan kesemua perkhidmatan melibatkan hidupan liar di laman web mereka pada 2017 lagi.
BACA JUGA :
- Tour Dan Aktiviti Melibatkan Hidupan Liar Tidak Lagi Ditawarkan Oleh Expedia..
- Jom Boikot Tunggang Gajah! Pelancong Seronok, Haiwan Menderita Didera
Buat masa sekarang, hanya ada 14 ekor gajah yang masih ‘bekerja’ di Angkor Wat dan pelancong kini sudah bijak dan tidak mahu melihat atau menyokong aktiviti yang menyiksa haiwan seperti ini lagi.
Dipercayai, terdapat kira-kira 70 ekor gajah telah dijinakkan di Cambodia untuk digunakan dan terdapat kira-kira 500 ekor gajah liar sahaja di sana. 110 ekor gajah didapati di Santuari Hidupan Liar Keo Seima dan hampir 200 ekor gajah liar ada di Pergunungan Cardamom.
Selain Cambodia, jumlah gajah di kasawan Asia Tenggara telah menurun dengan drastik disebabkan pemburuan haram dan kemusnahan habitat asal gajah ini. Ini ditambah pula dengan konflik yang ada antara mereka dan manusia.
Kita di Malaysia ni, diharapkan boleh memboikot segala aktiviti melibatkan hidupan liar kalau ke luar negara. Kalau rasa haiwan tersebut tersiksa, janganlah sokong.