Logo Baharu Kempen Melawat Malaysia 2020 Dilancarkan!

TERKINI
July 22, 2019 - 06:32 PM


Logo ciptaan pereka grafik muda dari Melaka, Alfred Phua Hong Fook akhirnya dipilih sebagai logo baharu sempena kempen Melawat Malaysia (VM) 2020. 

Logo yang menampilkan pelbagai ikon Malaysia yang dikenali ramai seperti burung kenyalang, bunga raya, pakis liar dan warna-warna Jalur Gemilang itu berjaya menewaskan beratus-ratus penyertaan yang diterima dari seluruh negara dari tempoh pertandingan dibuka iaitu sejak awal tahun ini.

Logo baharu itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, petang Isnin.

Secara keseluruhannya, logo berkenaan menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian.

Logo tersebut bakal digunakan sebagai sebahagian usaha pemasaran dan promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bermatlamat untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong serta menyumbang RM100 bilion pendapatan kepada negara.

Bagi mencapai sasaran berkenaan, kerajaan perlu menjangkau sasaran lebih tinggi untuk mempromosikan Malaysia di negara lain termasuk ASEAN, China, India, United Kingdom (UK) dan Jerman.

Sumber: Utusan