Info Ringkas Travel Ke Pulau Langkawi

TRAVEL
August 21, 2019 - 06:01 PM


Pulau Langkawi bukanlah sebuah nama yang asing bagi kita. Baik dari dalam negara mahupun luar, ramai yang tahu akan keindahan serta kepelbagaian yang ditawarkan di pulau yang mendapat jolokan ‘Permata Negeri Kedah’ ini.

Uniknya Langkawi ini, ia merupakan sebuah pulau dan dikelilingi oleh 99 buah pulau kecil yang ada kelebihan serta tarikan tersendiri. Dikelilingi laut yang membiru, Langkawi merupakan sebuah destinasi yang mempunyai campuran muka bumi terdiri daripada pantai, gunung ganang, sawah padi dan macam – macam lagi.

Kalau nak diikutkan, ramai pelancong memilih untuk ke Langkawi disebabkan lokasinya yang sesuai untuk selaman skuba, peluang percutian, serta statusnya sebagai pulau bebas cukai.

Selain itu, adanya pelbagai tarikan menarik di Langkawi merupakan faktor penarik yang membuatkan pelancong suka dan akan kembali untuk menghabiskan masa dan bercuti di pulau berkenaan.

Menurut statistik, kemasukan pelancong pada tahun 2018 ke Langkawi adalah seramai 3.6 juta dan ini terdiri daripada pelancong tempatan dan juga warganegara asing.

Masa Terbaik Untuk Ke Langkawi

Kalau nak diikutkan, masa terbaik untuk ke Langkawi adalah dari Januari hingga Mac. Sebabnya, cuaca panas. Maknanya, aktiviti pantai atau aktiviti lain boleh dilakukan tanpa perlu risau akan hujan dan sebagainya.

Selalunya, pelancong luar akan mula masuk ke Langkawi bermula Oktober sehinggalah April. Sebab utamanya adalah, itu adalah cuti persekolahan untuk mereka. Tapi, kekurangan dia disini, bila pelancong ramai, maka harga sewa kereta, hotel dan lain – lain akan naik kerana permintaan tinggi.

Kalau tak suka ramai sangat orang, pilihlah antara April hingga Ogos. Ini dikira ‘mid season’ dan dari segi cuaca pulak, kadang – kadang akan ada hari yang hujan lebat dan sebagainya.

Biasanya, waktu inilah best sebab tak ramai sangat orang di Langkawi. Pantai pun agak ‘tenang’, tak ramai pelancong.

Elakkan bercuti ke Langkawi bulan September ke Oktober. Ini biasanya musim hujan dan selalunya hujan di sebelah petang dan malam. Kalau korang tak kisah, silakan. Tapi biasanya, tak banyak aktiviti pantai berlaku disebabkan ombak besar dan sebagainya.

Pengangkutan Ke Langkawi

Kalau dari dalam negara, ada beberapa cara untuk kita sampai ke Langkawi. Pertamanya; boleh menaiki kapal terbang lah. Ada beberapa syarikat yang tawarkan penerbangan terus ke airport langkawi. AirAsia misalnya.

Kedua, boleh menaiki kereta / bas

Kereta : Untuk yang nak menaiki kereta; ada dua destinasi atau jeti untuk ke Pulau Langkawi. Satu di Kuala Kedah, satu di Kuala Perlis. Kedua – duanya sama konsepnya, parking kereta di kawasan yang disediakan di jeti, amiklah mana – mana feri yang ada di kaunter.

Kalau menaiki bas, lagi senang turun di Kuala Perlis dan berjalan sikit untuk ke Jeti Kuala Perlis.

Harga tambang feri untuk ke Langkawi dari Kuala Perlis mula seawal 7.30 pagi dan feri terakhir pada 7.00 malam. Kekerapan 1 jam setengah. Harga RM18 untuk dewasa, RM13 kanak-kanak.

Dari Kuala Kedah, tambang feri untuk ke Langkawi adalah RM23 untuk dewasa dan RM17 untuk kanak – kanak. Feri terawal ke Langkawi pukul 7 pagi dan terakhir 7 malam. Kekerapan, 1 jam setengah juga.

Tapak UNESCO Geopark

Satu lagi fakta yang umum kurang tahu adalah keseluruhan Langkawi merupakan tapak warisan geologi dan ianya mempunyai unsur ekologi, arkeologi, sejarah serta budaya. Konsep Geopark yang ada di Langkawi pula mementingkan pembangunan kawasan secara lestari.

Langkawi Geopark Global UNESCO meliputi keseluruhan kawasan Langawi. Ya, kesemua 99 buah pulau yang ada di Langkawi telah diwartakan oleh UNESCO sebagai GEOPARK. Anugerah ini diberikan kepada Langkawi pada 2007 dan ianya merupakan yang PERTAMA seumpamanya di dunia.

Sebuah lagi fakta tentang Langkawi yang mungkin ramai tidak tahu adalah sebenarnya ia merupakan pusat pembentukan Asia Tenggara dan Malaysia pada 550 juta tahun dahulu dan ianya dipanggil Cambria Machinchang.

Dalam banyak - banyak lokasi, Langkawi ni antara favorit kami jugak sebab terasa macam banyak lagi yang tak di 'explore'. Nantikan update kami pasal Langkawi ye~ 


BACA JUGA

Destination: