
Mesir Sambung Darurat 3 Bulan Lagi
TERKINIDi kala banyak negara yang telah menarik balik arahan lockdown dan melonggarkan sedikit perintah berkurung mereka -- lain pula ceritanya dengan Mesir apabila negara itu memutuskan untuk melanjutkan darurat selama 3 bulan lagi.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi yang menyifatkan aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan "berbahaya".
Darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar.
Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat COVID-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan 337 orang. Jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh.
Bulan lalu, Kaherah mengenakan perintah berkurung pada waktu malam bersama dengan langkah-langkah pencegahan lain.
Memandangkan beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan sempena Ramadan, Mesir yang mempunyai hampir 100 juta penduduk, turut mengambil pendekatan sama membenarkan pusat beli-belah dan kedai dibuka setiap hari.
Perintah berkurung bermula 9 malam berbanding sebelum ini 8 malam, sehingga 6 pagi.
Sekolah, universiti, masjid dan kawasan pelancongan masih ditutup.
Sumber: Bernama