Dah Buka Sempadan Nanti, Korang Kena Serbu 'Skywalk' Awan Karpet Dekat Selatan Thai Ni Tau!
TRAVELBerita ini mungkin membuatkan korang yang dah lama tak travel ke luar negara akan menjerit mahukan sempadan pintu negara segera dibuka.
Ini kerana bermula 1 Oktober depan, negara jiran kita Thailand secara rasmi bakal membuka 'skywalk' terpanjang di Asia yang membolehkan pengunjung menyaksikan sendiri keindahan awan karpet di Iyerweng-Betong, Thailand.
'Skywalk' setinggi 100 meter dan 61 meter panjang itu yang terletak di daerah selatan Thai dilaporkan menelan belanja sebanyak 93 juta Bath (RM12.8 juta) dan kini berada dalam fasa terakhir untuk disiapkan.
Lokasi tersebut dijangka akan menarik lebih ramai pelancong dari Malaysia, Singapura dan Thailand untuk ke Betong bagi merasai pengalaman seakan-akan berada di atas 'Sea Of Clouds' atau lautan awan.
Keindahan puncak bukit, Iyerweng yang dipenuhi kabus umpama sebuah karpet awan sememangnya menjadi tarikan utama kepada pelancong yang bercuti ke sana.
Jika ke sini pastikan korang dah terpacak dari pukul 5.30 pagi hingga 10 pagi bagi menikmati sinaran matahari terbit dari puncak setinggi 2,085 meter dari paras laut itu.
Bagi mereka yang ingin melihat lautan kabus ini boleh memilih sama ada menaiki kenderaan pacuan empat roda ataupun motosikal.
Cuma menaiki kereta agak mencabar sedikit kerana terpaksa menaiki bukit yang tinggi selain keadaan jalan yang tidak rata.
Menariknya di kawasan ini, mereka yang ingin bermalam di puncak bukit Iyerweng turut disediakan kawasan berkhemah yang mampu menampung antara 50 hingga 80 pengunjung pada satu-satu masa dengan kadar sewa yang cukup berpatutan termasuk menyewa khemah.
Penat mendaki bukit, pasti akan hilang setelah sampai di puncak dan bergambar cantik di atas Skywalk dengan berlatarbelakangkan kepulan kabus memutih yang memenuhi kawasan pergunungan itu.
Kalau ke sini korang jangan lupa untuk mencuba hidangan di Betong yang terkenal sebagai 'City of Food' seperti Ayam Betong, Ikan Selot dan sayur-sayuran segar.
Malah soal tempat penginapan juga korang tak perlu risau kerana Betong mempunyai pelbagai pilihan hotel, resort dan homestay -- khasnya di mukim Iyerweng bagi menerima kunjungan tetamu dari dalam dan luar negara.
Tapi apa-apa pun diharap korang bersabar dulu untuk bercuti ke sini ya. Tunggu keadaan pandemik COVID-19 reda dahulu dan pintu sempadan negara dibenarkan buka baru kita sambung jalan-jalan ke Thailand ya!