Sri Lanka Buka Semula Pintunya Kepada Pelancong Selepas 10 Bulan Ditutup
TERKINISri Lanka membuka semula sempadannya kepada para pelancong asing hari ini (21 Januari) setelah hampir 10 bulan ditutup dan menjejas teruk industri pelancongannya.
Operasi penuh juga disambung semula di dua lapangan terbang antarabangsa pulau itu bagi mengendalikan penerbangan komersil.
Di bawah protokol baru untuk mencegah penularan COVID-19, para pelancong mesti menjalani ujian swab COVID-19 di negara masing-masing 72 jam sebelum menaiki pesawat, sebaik tiba di hotel mereka di Sri Lanka dan sekali lagi tujuh hari kemudian.
Mereka mesti berada dalam "laluan perjalanan" yang ditetapkan di 14 zon pelancongan tanpa bergaul dengan penduduk tempatan.
Sekitar 180 hotel sudah disediakan bagi penginapan pelancong.
Langkah menyambung semula pelancongan itu dibuat menyusuli projek perintis yang bermula 26 Disember di mana 1,500 pelancong dari Ukraine mengunjungi Sri Lanka mengikut laluan perjalanan sedemikian.
Pemerintah negara itu menutup sempadan kepada para pelancong pada bulan Mac 2020 apabila COVID-19 mula menular. Lapangan terbang antarabangsa ditutup kecuali bagi penerbangan terhad untuk membawa pulang rakyat Sri Lanka.
Industri pelancongan adalah sektor ekonomi penting bagi Sri Lanka, menyumbang kepada sekitar lima peratus hasil dalam negeri kasar (GDP) dan menggajikan 250,000 orang secara langsung serta sehingga tiga juta orang secara tidak langsung.
Hotel-hotel, perniagaan lain dan para pekerja mereka berdepan kehilangan pendapatan.
Sumber: Berita MediaCorp