Batik Pilihan Pakaian Rasmi Berjaya Corporation Bhd, Promosi Seni Dan Budaya Malaysia
GAYA HIDUPBatik yang dibanggakan sebagai seni Melayu yang unik kini kian dilupakan, dan jarang menjadi pilihan untuk dipakai terutama sekali dalam kalangan anak muda. Batik juga dilihat sebagai pakaian yang mahal, namun pembikinan batik tradisional bukanlah sesuatu yang mudah, dan kesenian batik itu sendiri sepatutnya lebih dihargai.
Sukacitanya, batik telah menjadi pilihan pakaian rasmi untuk semua kakitangan Berjaya Corporation Bhd. Pengumuman tersebut dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan itu, Abdul Jalil Abdul Rasheed di Twitter-nya.
Pemilihan tersebut dibuat bertujuan untuk mempromosikan budaya Malaysia, menghargai dan menghidupkan kembali seni batik itu, selain membantu industri batik yang kebanyakannya dipelopori peniaga kecil dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Abdul Jalil menggalakkan kakitangan mereka tidak kira lelaki atau perempuan untuk mengenakan pakaian batik pada setiap hari, dan kesemua kakitangan barisan hadapan syarikat itu juga akan mengenakan pakaian tradisi itu secara berperingkat dalam setiap hospitaliti.
Pengumuman itu akan membabitkan kira-kira 20,000 kakitangan secara keseluruhan, dan mereka turut menggalakkan vendor dan pembekal mereka untuk mempertimbangkan polisi tersebut.