April-Julai Biasanya Terengganu Berpesta Candat Sotong. Tahun Ni Korang Rasa Ada Ke Tak?
TERKINISelain terkenal dengan pulau-pulau peranginan yang cantik, Terengganu juga sememangnya popular dengan aktiviti mencandat sotong.
Tetapi dengan lonjakan kes COVID-19 ketika ini, adakah aktiviti yang biasanya menarik ramai pelancong ke Terengganu itu bakal diteruskan untuk tahun ini?
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman -- aktiviti candat sotong itu akan diteruskan pada tahun ini, namun penganjurannya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.
Malah, beberapa gimik promosi juga bakal diadakan selepas Aidilfitri tidak lama lagi untuk menarik kedatangan peminat aktiviti tersebut.
"Fokus utama kita sekarang ialah memilih kaedah sesuai agar kebenaran diberi kepada mereka yang mahu merentas negeri ke Terengganu. Mungkin kebenaran boleh diberi untuk mereka yang sudah lengkap mendapatkan dos vaksin, atau telah jalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum datang ke Terengganu.
"Ini akan dibincangkan secara terperinci bersama Majlis Keselamatan Negeri (MKN) ... apa SOP yang sesuai untuk memastikan pelancong luar boleh masuk ke Terengganu bagi menyertai aktiviti candat sotong," katanya kepada media.
Kemeriahan aktiviti candat sotong di Terengganu akan bermula dari April hingga Julai setiap tahun, yang menyaksikan ratusan bot candat akan berada di perairan sekitar pulau-pulau peranginan di negeri itu.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata dari segi pematuhan SOP untuk pengusaha bot pula, mereka bersedia mengurangkan jumlah peserta 50 peratus berbanding kapasiti yang ada.
"Mereka juga menyatakan kesediaan untuk mematuhi semua peraturan dan norma baharu yang perlu dititikberatkan, untuk memastikan aktiviti candat dapat berjalan lancar kerana ia juga adalah 'lubuk rezeki' untuk pengusaha bot," katanya.
Sumber: BERNAMA