Wanita Ni Jalan Kaki Keliling Dunia, Korang Mampu?

GAYA HIDUP
June 02, 2021 - 04:52 PM


Bila bercakap tentang aktiviti lasak, dan ekstrim, min rasa memang ramai yang mengimpikan untuk satu hari nanti lakukan sesuatu yang boleh memecah rekod sendiri, dan mencapai satu kepuasan di level yang berbeza. Sebelum ni, min pernah kongsikan hiking trail paling panjang di dunia di New Zealand yang memerlukan masa 4-6 bulan untuk korang habiskan, Te Araroa, korang boleh baca di sini.

Lain pula kali ni, min nak kongsikan kisah seorang wanita yang berjalan keliling dunia seorang diri pada tahun 2014, Angela Maxwell.  

"Kenapa?" merupakan soalan yang sering diterima Maxwell tentang keputusan yang dia ambil untuk berjalan seorang diri mengelilingi dunia. Maxwell mengambil keputusan untuk menghentikan kehidupannya yang sempurna sebelum ini hanya untuk mengejar impiannya yang mesti ramai yang akan rasa tak masuk akal. 

Sebenarnya, Maxwell langsung tidak pernah membuat perancangan untuk berjalan satu dunia, dan hanya mengambil keputusan untuk melakukan perkara tersebut 9 bulan selepas terdengar sebuah kisah yang tidak tahu betul atau palsu tentang seorang lelaki yang pernah berjalan mengelilingi dunia. 

Perjalanan Maxwell tidak bermula daripada sebuah kisah yang suram, atau krisis peribadi, malah Maxwell sebenarnya berada di dalam umur 30-an yang sempurna, dengan bisnes yang berjaya, namun walaupun Maxwell merasakan dirinya bahagia, sesuatu di dalam dirinya masih mencari sesuatu... yang boleh membawa dirinya lebih dekat dengan alam, dan manusia. 

Lalu Maxwell membuat keputusan untuk berjalan keliling dunia, kenapa berjalan? Sebab dengan berjalan, Maxwell dapat minimakan jejak karbonnya dan pergerakan yang perlahan dapat memberikan Maxwell waktu dan ruang untuk betul-betul mendekati alam semulajadi dan manusia di sekelilingnya. 

Sebelum memulakan perjalanannya, Maxwell membaca tentang kisah Robyn Davidson yang mengelilingi Australia menaiki unta, dan beberapa lagi kisah wanita yang melakukan perkara 'gila' berseorangan hanya untuk memberikan dirinya sedikit gambaran tentang kesusahan yang mungkin perlu dihadapi. 

Selepas Maxwell nekad untuk berjalan keliling dunia, Maxwell menjual kesemua barang miliknya, dan dapatkan barangan keperluan termasuk 50kg barang keperluan camping, makanan kering, penapis air gred askar, dan pakaian untuk 4 musim. 

Maxwell meninggalkan kampung halamannya di Bend, Oregon pada 2 May 2014 dan beliau hanya berjalan ke destinasi tanpa mengambil tahu apa yang menantinya sepanjang perjalanan dan apa yang ada di destinasinya kerana Maxwell ingin mengenali dunia dengan caranya sendiri. 

Kali pertama dihubungi media pada 2018, Maxwell sudah pun berjalan selama 4 tahun melebihi 12 ribu batu, 12 negara, dan 3 kontinen. Menurut Maxwell, perjalanannya bukanlah sesuatu untuk seseorang yang sukakan hiking ataupun bersukan, tetapi untuk seseorang yang ingin mengembara, dan mencari diri sendiri di dalam sebuah pengembaraan. 

Maxwell berkata rutin hariannya lebih kurang sama iaitu bangun pada waktu matahari terbit dan minum 2 cawan kopi dan makan sarapan pagi, kemudian berkemas, jalan, dan apabila hari semakin gelap, Maxwell akan mencari tempat untuk dirikan khemah, makan malam, kemudian tidur. Tetapi, walaupun rutinnya sama, Maxwell sentiasa merasakan hari-harinya berbeza. 

Walaupun Maxwell sentiasa menjangkakan perkara yang buruk akan berlaku kepadanya berseorangan di negara asing, dan tidur di merata tempat setiap hari, namun menurutnya dia tidak memulakan perjalanan kerana berasa berani, namun kerana ingin melawan rasa takut dalam diri. 

Langkahnya yang perlahan memberikannya ruang untuk mengenali budaya di setiap tempat yang disinggah seperti perkampungan tepi laut di Itali, yang memberikannya layanan yang sangat baik sebagai seorang pengembara. Di Vietnam, Maxwell dijemput oleh seorang wanita tua yang memberikannya tempat untuk tidur satu malam di dalam rumah kayunya. Maxwell juga bertemu dengan ramai orang yang akhirnya menjadi sahabatnya sehingga hari ini. 

Menurutnya, sesetengah pertemuan hanya bertahan sehingga 7 minit, dan ada yang bertahan sehingga 7 hari, namun setiap pertemuan akan Maxwell berikan sepenuh perhatian, agar setiap perkara yang terjadi di dalam pengembaraannya dapat dia pelajari. 

Pengembaraan Maxwell tamat pada 16 Disember 2020 tepat di mana ianya bermula, iaitu di rumah teman baiknya Elyse, di Bend.