Barisan Kabinet Baru Ada 5 Menteri Wanita. Jom Kenali Mereka & Intai Kekuatannya!
GAYA HIDUPPada Jumaat lepas (2 Disember 2022) -- secara rasminya untuk tempoh 5 tahun lagi Malaysia bakal dikemudi oleh barisan Kabinet baru bagi Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam barisan Jemaah Menteri kali ini seramai 28 ahli politik dilantik sebagai menteri dengan pecahan 23 daripadanya adalah pemimpin lelaki, manakala 5 lagi merupakan pemimpin wanita.
Jumlah menteri wanita yang dilantik dalam barisan Kabinet kali ini adalah sama seperti jumlah lantikan menteri wanita ketika kerajaan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia membuktikan bahawa suara wanita masih lagi penting bagi menjaga kepentingan rakyat di negara ini.
Berikut merupakan senarai menteri wanita yang menerajui Kerajaan Perpaduan disertai kekuatan dan cabaran yang perlu dihadapi mereka menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.
1) DATUK SERI NANCY SHUKRI
Ahli Parlimen Santubong ini dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam pentadbiran terdahulu, beliau dilantik menjadi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
- KELEBIHAN
Ahmad Atory berkata, Nancy sudah tiga penggal berada dalam arena politik dan dianggap sebagai pemimpin senior dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, Nancy juga disifatkan sebagai golongan elit Melayu di Sarawak dan berpelajaran tinggi.
Dengan pengalamannya yang luas dalam kerajaan, Nancy kini boleh menabur bakti dalam portfolio yang berbeza dan lebih mencabar di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
- CABARAN
Sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Atory berkata, Nancy mempunyai tanggungjawab besar.
Ia antara lain meningkatkan pembangunan dan potensi wanita dalam negara dan Kabinet.
"Selain itu, beliau perlu memastikan nasib wanita tertindas terbela.
"Ini termasuk wanita daif, tak dapat peluang pekerjaan, anak-anak, bujang, isu perjodohan wanita, janda-janda dan warga emas.
"Beliau juga perjuangkan nasib wanita dalam sektor awam, adakah mereka perlu naik pangkat, naik gaji diskriminasi wanita dan lelaki," katanya.
2) DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
Ahli Parlimen Pangerang ini dipilih menjadi Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.
- KELEBIHAN
Dengan pengalaman luas sebagai ahli Kabinet dan menerajui pelbagai kementerian sejak 2004, Azalina mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2004 dan wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2020.
Azalina juga merupakan Menteri Pelancongan dari 2008 sehingga 2009 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam hal ehwal undang-undang dari 2015 hingga 2018.
- CABARAN
Menurut Ahmad Atory, Azalina perlu melihat beberapa perkara dalam kementeriannya:
Antaranya adalah menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi Akta Pendanaan Politik yang masih di peringkat cadangan.
RUU ini menetapkan bahawa parti-parti politik perlu mengisytiharkan kepada kerajaan tentang sumber dana diperoleh.
Akta ini penting bagi memastikan parti-parti politik memiliki dana yang telus dan bersih, serta tidak bergantung kepada sumber yang boleh menjejaskan integriti.
Selain itu, Ahmad Atory berkata, Azalina berdepan cabaran untuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sabah dan Sarawak berjalan dengan lancar seperti dikehendaki.
Mengikut rekod pemerintahan terdahulu, MA63 masih belum menemukan titik penyelesaian dengan perjanjian itu masih menjadi gula-gula politik setiap kali pilihan raya dijalankan.
"Selain dua cabaran utama ini, Azalina juga perlu meneruskan agenda RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355), melaksanakan reformasi Institusi Parlimen dan reformasi badan kehakiman negara.
"Ini termasuk mengasingkan Peguam Negara supaya tidak lagi berkuasa dalam pendakwaan, sebaliknya hanya perbicaraan," katanya.
3) FADHLINA SIDEK
Fadhlina Sidek dilantik sebagai Menteri Pendidikan.
- KELEBIHAN
Pengalaman sebagai aktivis dan peguam dalam undang-undang keluarga Islam serta hal kebajikan kanak-kanak dilihat mampu membantu Fadhlina Sidek dalam melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Pendidikan yang baharu.
Sebelum aktif dalam politik, Fadhlina, 45, banyak terlibat dalam perkara berkaitan literasi undang-undang keluarga Islam, perlindungan serta keselamatan kanak-kanak selain mempunyai firma guaman syarie sendiri.
Ahmad Atory berkata, Fadhlina merupakan anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Allahyarham Dr Siddiq Fadzil.
Katanya, Allahyarham Siddiq merupakan rakan baik kepada Anwar. Beliau menyifatkan Fadhlina dan arwah bapanya ibarat 'like father like daughter'.
"Beliau bijak dan ikut jejak ayahnya yang merupakan intelektual Melayu dan ulama moden," katanya.
- CABARAN
Ahmad Atory berkata, Fadhlina perlu mempelajari maklumat daripada pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) kerana beliau bukan pakar dalam bidang pendidikan.
Katanya, perkara ini sama seperti bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang perlu mempelajari bidang kesihatan, berikutan beliau sebelum ini mempelajari bidang berbeza.
Tambah Ahmad Atory, Fadhlina perlu menumpukan tiga perkara iaitu Dasar Pendidikan Negara, isu pendidikan dan hala tuju pendidikan negara dalam bidang pelajaran terpesong.
Selain itu, katanya, Fadhlina perlu menumpukan kemudahan dan masalah pendidikan di sekolah asrama dan luar bandar.
"Namun, cabaran paling besar beliau ketika ini adalah tuntutan kaum Cina untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), sama ada ia ditangguhkan atau dibincangkan semula," ujarnya.
Antara perkara perubahan yang dilakukan Fadhlina adalah mengatasi isu teras seperti bebanan guru yang sekian lama disuarakan.
Ini termasuk lebihan tugasan yang terpaksa dilakukan guru selepas waktu pengajaran.
Isu silibus juga amat penting dititikberatkan kerana sudah berulang kali dibangkitkan pakar-pakar pendidikan.
Silibus yang ada ketika ini dilihat sudah ketinggalan dan memerlukan pembaharuan mengikut arus semasa.
Di pihak pelajar pula, isu beg berat juga masih boleh diperbaiki selain penyediaan lokar di sekolah.
4) HANNAH YEOH
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipilih sebagai Menteri Belia dan Sukan.
- KELEBIHAN
Pemilihan Hannah yang sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menerajui kementerian terbabit mengulangi rekod menteri wanita sebelum ini, iaitu Azalina Othman.
Menurut Atory, Hannah disifatkan sebagai pemimpin rajin dan cerdik sebelum ini.
Jadi sekali lagi, KBS akan mendapat sentuhan wanita dengan harapan industri sukan dan peranan belia dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi.
- CABARAN
Atory berkata, Hannah perlu menumpukan kedua-dua bidang sukan dan belia di negara ini.
Dari segi industri sukan negara, katanya, Hannah perlu memikirkan kaedah untuk melestarikannya.
Ini termasuk menambah baik sektor sukan negara ini di mata dunia.
Selain itu, Hannah perlu memastikan penglibatan yang setara antara kaum dan jantina untuk menyertai sukan popular tempatan.
"Beliau juga perlu berinteraksi persatuan sukan negara, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara.
"Malah, beliau juga disaran untuk melihat semula bola sepak wanita yang dianggap lemah. Kita lihat bola sepak wanita negara ini antara tercorot di dunia.
"Bukan itu sahaja, Hannah perlu mengkaji sama ada mahu meneruskan Program Podium yang dilancarkan oleh KJ (Khairy Jamaluddin) pada Februari 2016.
"Kemudahan-kemudahan sukan, masalah dan bantuan kepada belia juga perlu dilihat," katanya.
5) DR ZALIHA MUSTAFA
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR ini dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Mengikut sejarah kerjaya Dr Zaliha, Ahli Parlimen Sekijang ini juga pernah memegang jawatan sebagai doktor perubatan di Hospital Pekan, Pahang pada 1990 dan Hospital Taiping, Perak (1991).
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai doktor perubatan swasta sejak 1993.
Malah, beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pada 2018.
- KELEBIHAN
Melihat kepada sejarah kerjaya itu, Ahmad Atory menyifatkan pelantikan Dr Zaliha tiada sebarang masalah.
"Beliau lebih baik berbanding KJ, cuma tak tahu sejauh mana beliau boleh memimpin," katanya.
- CABARAN
Ahmad Atory berkata, terdapat beberapa perkara perlu diteliti oleh Menteri Kesihatan itu.
Antaranya, wabak Covid-19 masih belum tamat dan di sini akan dapat dilihat kemampuan Dr Zaliha sama ada mahu meneruskan usaha-usaha dilakukan oleh menteri sebelum ini atau tampil dengan solusi baharu.
Isu doktor kontrak juga belum menemukan titik noktah.
Jadi isu ini akan menguji kredibiliti dan keberkesanan Dr Zaliha dalam menyelesaikannya.
Difahamkan, mereka yang berstatus doktor kurang bernasib baik mendapatkan peruntukan. Ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan pinjaman kewangan, biasiswa, bantuan pelajaran serta mendapatkan kerja tetap sebagai doktor.
Satu lagi isu besar yang menjadi perhatian beberapa tahun kebelakangan ini adalah kes buli dalam kalangan doktor pelatih.
Di sini, sekali lagi Dr Zaliha akan diuji untuk mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan kes sedemikian tidak lagi berulang dan mencemarkan institusi kesihatan negara.
Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar, masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan menjadi isu kritikal buat sektor kesihatan.
Dr Zaliha perlu tampil dengan strategi dan solusi yang berkesan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan ini, tambahan lagi jika berlakunya satu lagi pandemik seperti Covid-19.
"Dr Zahila juga perlu menelitik keperluan pembinaan lebih banyak hospital terutamanya di kawasan luar bandar.
"Dengan pembukaan hospital ini, lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan dan paling penting adalah penambahan jururawat lelaki.
"Selain itu, beliau boleh melontarkan idea untuk mewujudkan kolej atau institut pentadbiran hospital," katanya.
Sumber: Majoriti