Semboyan Pilihan Raya Mula Berbunyi. Ini Apa Berlaku Selepas Parlimen Dibubarkan.

GAYA HIDUP
October 11, 2022 - 11:54 AM


Semalam pada tarikh cantik 10.10 -- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 dalam satu Perutusan Khas yang berlangsung pada jam 3 petang.

Pengumuman itu menamatkan teka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen yang menjadi topik dan isu hangat sepanjang tempoh minggu lalu ketika Bajet 2023 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ia juga menandakan hari pengundian semakin hampir untuk rakyat menentukan siapa yang bakal mentadbir negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Malah, dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda turut menzahirkan harapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijalankan dalam tempoh terdekat ini.

Ini memandangkan baginda turut mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November ini.

KABINET SEDIA ADA BERFUNGSI SEBAGAI KERAJAAN 'CARETAKER'

Justeru, kerajaan campuran pimpinan Ismail Sabri akan bertindak sebagai kerajaan sementara atau 'caretaker' yang juga mempunyai kuasa sementara dan terhad untuk menjalankan tugas secara interim walaupun tiada dalam Perlembagaan. Namun, ini berdasarkan amalan sistem Westminster.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata walaupun ia bersifat kerajaan sementara, mesyuarat Kabinet masih juga boleh dijalankan seperti biasa namun ada beberapa perkara yang terhad iaitu:

- Tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar, tetapi boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

- Hanya boleh melaksanakan dasar dan keputusan yang sudah dibuat terlebih dulu, sebelum Parlimen dibubarkan. Cuma selepas ini Perdana Menteri akan jarang memanggil mesyuarat Kabinet.

- Tiada sebarang undang-undang baharu akan diluluskan, tiada dasar baharu akan ditandatangani oleh mana-mana menteri dan semua rang undang-undang akan ditangguhkan.

- Jentera kerajaan di semua peringkat tidak boleh terbabit dalam kempen politik kepartian.

- Hanya menjalankan tugas asasi seperti menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, selain memantau pelaksanaan tugas harian jentera kerajaan sehinggalah PRU dapat berjalan dengan jayanya.

- Tanpa amalan kerajaan sementara, berlakulah pencabulan demokrasi, pilihan raya yang berat sebelah dan penyelewengan sumber awam.

- Ini bermakna pemimpin kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri hanya boleh berkempen atas kapasiti parti, bukannya atas jawatan kerajaan.

SPR AKAN KELUARKAN WRIT & ARAHAN, NOTIS PILIHAN RAYA

Selepas pembubaran Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak mengeluarkan writ dan arahan kepada pegawai pilihan raya bahagian di seluruh negara untuk pilihan raya diadakan di kawasan masing-masing.

Notis pilihan raya yang mengandungi tarikh untuk penamaan calon dan tarikh pengundian awal serta pengundian biasa juga akan dikeluarkan.

Kemudiannya, tarikh penamaan calon ditetapkan oleh SPR bagi membolehkan calon yang ingin bertanding menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pilihan raya.

Sejurus selepas itu, kempen akan bermula dan berakhir pada jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.

Justeru, berdasarkan kepada kiraan berkenaan ia bermakna parti politik mempunyai tempoh kira-kira sebulan saja untuk membuat persediaan termasuk manifesto, strategi kempen dan calon yang boleh membawa kemenangan kepada mereka.

PARTI POLITIK MULA MEMBUNYIKAN SEMBOYAN PILIHAN RAYA

Parti politik kini sudah mula 'memanaskan enjin' bersedia untuk memasuki gelanggang PRU15 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Masing-masing kini mula mengatur langkah strategi bagi menawan kembali kawasan serta menetapkan calon pilihan yang mampu menambat hati rakyat di kawasan yang dipertandingkan.

Malah, pada malam tadi juga UMNO dan PKR sudah pun mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persediaan jentera parti mereka untuk menghadapi PRU15 yang sentiasa disebut-sebut sejak 2018 selepas berlakunya Langkah Sheraton. 

Pada masa sama, kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor berkemungkinan akan membincangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU Peringkat Parlimen, seperti yang disyorkan oleh Perdana Menteri.

Sebelum ini, PAS memutuskan 3 negeri yang dikuasainya iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN dalam tempoh terdekat.

Selain itu, tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga dilaporkan akan melakukan perkara sama.

Bagi manifesto pula, Barisan Nasional (BN) dijangka akan memainkan manifesto berdasarkan inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet 2023.

Pihak pembangkang pula dijangka akan memainkan sentimen dengan mendakwa kerajaan BN tidak bertanggungjawab kerana mahukan PRU-15 dijalankan pada waktu yang tidak sesuai.

Buat pertama kali juga, 4 parti baharu akan bertanding dalam PRU-15 iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Destination: