Amboi, Sakan Syed Saddiq Menari Dalam Muzik Video Namewee Sindir 'Katak-Katak' Malaysia!

GAYA HIDUP
August 15, 2022 - 04:29 PM


Siapa tak kenal dengan ahli politik muda yang lantang dalam bersuara dan sering melakukan sesuatu di luar kebiasaan pemimpin negara?

Terbaharu Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman muncul dalam muzik video penyanyi rap yang juga pengarah filem kontroversi, Namewee.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar kelihatan dalam beberapa adegan termasuk menari bersama-sama Namewee dalam muzik video bertajuk 'A Song About FROGS in Malaysia'.

Dalam adegen pertama iaitu pada minit ke 2:59 hingga 3:02, Syed Saddiq kelihatan berada di sebuah kedai makan dan ketika itu muncul tujuh lelaki lengkap bersut hitam dan bertali leher.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu kemudiannya memandang lelaki-lelaki itu dengan rasa hairan.

Syed Saddiq muncul lagi dan kali ini beliau menari pula bersama-sama tujuh lelaki terbabit.

Syed Saddiq kemudian membuat kemunculan bersama Namewee pada minit ke 3:06 hingga minit 3:08 dan 3:12 hingga 3:14.

Dalam adegan itu, Syed Saddiq kelihatan menari dengan rancak di samping Namewee.

Pemimpin politik berusia 30 tahun itu mengakhiri muzik video berkenaan dengan menyampaikan ucapan bertemakan katak.

“Katak adalah haiwan yang dilindungi di Malaysia. Mereka mempunyai IQ yang sangat tinggi. Sangat pandai melompat. Mempunyai banyak kolagen.

“Dan yang paling penting mereka ini mahal, kaya. Di bawah jagaan negara kita selama bertahun-tahun, katak mengawan tanpa henti. Membiak dengan cepat. Dan bilangannya semakin meningkat.

“Semua orang mesti akui di Malaysia katak adalah khazanah negara kita. Sila ikut saya dengan melaungkan slogan hidup katak! Hidup katak! Hidup katak!” kata Syed Saddiq.

Muzik video tersebut yang dimuat naik sejak 12 Ogos lalu dipercayai ditujukan kepada ahli-ahli politik yang ‘melompat’ parti.

Namewee yang juga anak kelahiran Johor sebelum ini pernah mengarahkan filem bertajuk Babi yang mencetuskan kontriversi.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: